Thursday, March 13, 2008

Ulasan Buku.

Hari ini saya memilih Harian Metro untuk melihat paparan berita yang ditulis di dalamnya. Sehelai demi sehelai mukasuratnya saya selak. Ada berita yang menyentuh perasaan dan ada juga berita yang agak menakutkan. Di dalam benak fikiran ini saya terfikir bahawa setiap hari ada sahaja peristiwa yang berlaku di dalam masyarakat yang perlu kita ambil tahu.

Sehelai-demi sehelai saya baca sehingga sampai ke ruangan Ad-din. Di ruangan ini mata saya tertumpu kepada satu ruangan untuk ulasan buku. Setelah membacanya saya tersenyum sendirian. Saya turut berbangga buku ini menjadi pilihan untuk pengarang mengulasnya. Mahu tahu? Inilah buku yang saya maksudkan: (Di salin daripada Harian Metro bertarikh 14.03.08).




Ulasan Buku: Semangat kental pejuang Islam Uthmaniyah


Tajuk: Penakluk Andalusia

Penulis: Luqman Ghazzi


Terbitan pertama: 2008

Penerbit: PTS Islamika

Harga: Semenanjung Malaysia RM15, Sabah/Sarawak RM18



SATU ketika orang Islam dihormati dan disegani lawan kerana pelbagai kejayaan dicapai, malah bersama sistem nilai terpuji dengan sebahagian besar penjuru dunia dikuasai Muslim membuatkan semakin ramai berminat ikut serta dalam agama suci ini.

Orang Islam menakluki wilayah dari Timur Tengah hingga ke selatan benua Eropah dalam tempoh kurang daripada 100 tahun. Perjuangan itu berakhir di Perancis yang mewakili Eropah Barat dan di Vienna, Austria, Eropah Timur.

Mereka juga dapat menakluki wilayah utara benua Afrika, seperti Mesir dan Maghribi, malah pada era Uthmaniyah mereka berjaya menewaskan empayar besar Byzantium yang ketika itu menguasai Asia kecil, sekali gus menegakkan syiar Islam di negara terbabit.

Semua kejayaan itu diperoleh kerana kesungguhan, kecekalan dan keberanian orang Islam, di samping adanya ketaatan kepada pemimpin, sehingga sanggup mengharungi sebarang keadaan walaupun terpaksa bergadai nyawa sendiri.

Kekentalan mereka baik di daratan mahupun di lautan jelas tergambar, misalnya dalam misi ketenteraan menentang tentera Byzantium yang menguasai Laut Merah sejak pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dan serangan ke atas Pulau Cyprus.

Disebabkan semangat juang yang tinggi, sifat sabar dan tidak mudah putus asa daripada mengharapkan pertolongan Allah mereka juga berjaya merentasi Selat Gibraltar untuk menawan selatan Sepanyol yang ketika itu dikuasai orang kafir.

Kehidupan mereka berdisiplin, memelihara solat, hati mereka teguh dan yakin kepada pertolongan Allah, yang menjanjikan kemenangan dan kejayaan kepada orang beriman.

Oleh kerana itu, tiada istilah pengecut atau menyerah sebelum berperang bagi generasi terbabit. Mereka berdepan musuh dengan berani, tidak gentar untuk gugur sebagai syahid, semata-mata menegakkan agama Allah, Islam dan hingga kini Islam diterima ramai.

Bagi menyingkap kegemilangan generasi Muslim itu, PTS Islamika menampilkan sebuah buku berjudul Penakluk Andalusia yang ditulis Luqman Ghazzi.

Setebal 175 halaman, buku pahlawan Muslim itu ditujukan kepada remaja supaya dapat menjadikan generasi dulu sebagai teladan, terutama dalam membentuk jiwa kental dan peribadi berani menghadapi cabaran hidup.

Antara diceritakan membabitkan kisah Khalid al-Walid, Jaafar bin Abu Talib, Hamzah, Salman al-Farisi, penakluk Andalusia Tariq bin Ziad, taktik Abdullah bin Zubir menghadapi Raja Berber, taktik perang Abu Ubaidah bin al-Jarah dan keberanian Sultan Muhammad al-Fateh.

Kisah Sultan Muhammad al-Fateh yang menaiki takhta pada usia 19 tahun sangat menarik diperhatikan, kerana pada usia yang sangat awal itu rata-rata remaja kini lebih gemar bersuka ria dan berfoya-foya.

Walaupun usia masih muda, kematangan dan keberaniannya terserlah, memimpin angkatan tentera untuk menyerang kota Konstantinopel yang dikuasai oleh empayar Byzantium.

Dalam peperangan itu, beliau menunjukkan kepintaran menggunakan menara bergerak untuk menghampiri dan menembusi kubu empayar terbabit dan berbekalkan ketabahan menghadapi musuh, akhirnya orang Islam dapat menguasai kota terbabit.

Secara fizikal, buku terbabit menampilkan koleksi cerita sejarah Islam membabitkan pahlawan Muslim dan peperangan, tetapi dari aspek lain ia menekankan persoalan jati diri, keberanian, kekentalan, kekuatan semangat dan ketaatan kepada pemimpin.

Ciri positif seperti itu pasti sesuai dipupuk dan disemat pada setiap remaja, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran global yang kian kronik.

* Buku ini sangat menarik untuk dibaca terutama bagi golongan remaja lelaki. Banyak kisah yang berlaku yang diceritakan di dalam buku ini. Tahniah untuk pengarang buku ini dan tahniah juga buat PTS Islamika kerana menerbitkan karya yang bermutu.


No comments: