Thursday, October 30, 2008

Ceritaku


Semalam berlaku perbualan singkat antara aku dengan salah seorang muridku.

Aku : Mengapa layu sahaja muka kamu?

Murid : Tiada apa-apa.

Aku : Kamu sakitkah?

Murid : Tidak. Cuma perut saya ini terlalu kenyang!

Aku : Kamu makan banyakkah?

Murid : Saya makan nasi...sate dan mee goreng.

Aku : Lain kali bila makan beringat.

Murid : Memang saya ingat.

Aku : Maksud beringat ialah berhati-hati. Kalau ingat...apa yang kamu ingat sebelum makan?

Murid : Saya ingat hendak makan semua yang ada.(Sambil tersenyum)

Aku : Patut pun.(Hanya menggelengkan kepala).

Begitulah gelagat kanak-kanak. Mereka ini terlalu naif. Namun ada sinar kejujuran pada setiap gera dan tutur katanya:)

Sunday, October 26, 2008

Ini Satu Kisah...

Dalam diam aku terkenangkan suatu peristiwa yang berlaku di depan mataku. Ia berlaku di sebuah pusat perubatan di mana aku ingin mendapatkan khidmat rawatan alternatif.

Ketika itu aku di kaunter pembayaran setelah selesai menjalankan sesi kaunseling mengenai cara perubatan yang dijalankan. Ketika itu aku melihat di luar pintu...seorang wanita muda bersama ibu dan suaminya. Wanita tersebut memandangku dengan wajah yang mencuka. Aku pun tidak pasti mengapa. Setelah itu...kulihat dia cuba menguak pintu utama untuk masuk ke dalam namun tidak berjaya lalu kulihat dia menyuruh ibunya yang sudah berusia itu menolak pintu. Apalah daya seorang wanita tua yang kudratnya terhad. Ibu tua itu berusaha untuk menolaknya namun gagal. Akibatnya dia dimarahi wanita tersebut. Suamiku yang melihat membantu membuka pintu dan mempersilakan ibu tua itu masuk dan duduk di kerusi yang disediakan. Namun wanita itu dengan muka yang selamba langsung tidak menunjukkan reaksi untuk berterma kasih. Bukan aku mengharap tetapi atas dasar berbudi bahasa seharusnya ucapan sebegitu perlu diucapkan. Ibu tua itu tersenyum memandang aku dan suami mungkin tanda untuk berterima kasih.

Setelah pembayaran dibuat...kerana ketika itu juga aku membawa ibuku juga untuk mendapatkan rawatan...kami pun hendak pulang. Pada waktu yang sama wanita tersebut dipanggil untuk berjumpa doktor. Ketika itu aku lihat dia bangun dan berjalan seorang diri menuju ke bilik doktor.Beberapa saat kemudian dia kembali semula dan meminta suaminya untuk menemaninya. Lebih kurang begini dialognya:-

Wanita muda :Bang!Mari masuk sama!
Suami :Biar emak sahaja yang temankan...lagipun emak yang teringin hendak ikut.
Wanita muda :(menjawab dengan nada tinggi)Tidak perlulah!Abang sahaja!Ada tiga kerusi di dalam tu!Cepatlah!

Suami itu bangun dan menurut sambil meminta izin dari ibu tua untu masuk menemani isterinya. Ibu tua itu mengangguk perlahan dan duduk menanti di kerusi yang disediakan.

Aku keluar bersama suami dan ibuku. Sewaktu menekan butang lif fikiranku menerawang mengingatkan wanita muda tersebut. Jika begitu sikapnya dengan ibu dan suami di hadapan orang lain...bagaimana keadaannya jika di rumah. Tiadakah sikap ingin berbicara secara lembut dengan seorang ibu dan suami yang wajib dihormatinya?

Aku hanya menggelengkan kepala dan berdoa semoga ibu tua itu sentiasa bergembira.

Sunday, October 19, 2008

Masa Untuk Bertapa

Tiba masanya untuk aku bertapa(sekadar istilah) yang aku gunakan tatkala aku mahu tumpukan menghasilkan karya aku. Sejak sekian lama terbeku karya-karya aku tanpa ada sambungan atau penyudah ceritanya...kini aku sudah mula mengetik kekunci-kekunci laptop buruk aku ini untuk menghasilkan dan menambah koleksi karyaku.

Bukan tidak mahu untuk menyudahkan sinopsis yang telah aku cipta untuk sesebuah cerita...namun graf kesihatan ini yang turun menjunam sejak kebelakangan ini. Cuba juga menggagahi melawan rasa ketidak selesaan diri...namun kudratku yang ada terhad untuk cuba menangkisnya. Namun kecewa tidak sama sekali.

Pendrive ku ini sudah lama aku simpan. Di dalamnya terdapat benda yang aku rasakan berharga kerana terkandung di dalamnya hasil kerjaku.

Aku berdoa semoga Allah meringankan segalanya dan mempermudahkan segala urusanku.Amin.

Saturday, October 18, 2008

Apa Hendak Jadi?

Semalam seperti biasa aku membaca akhbar. Tajuk utama akhbar tersebut menggerunkan hati kecilku ini. Kisah seorang guru ditendang oleh anak muridnya sendiri. Guru malang itu ditendang disebabkan tegurannya mengenai kerja sekolah yang diberikan.

Apakah sewajarnya guru berkenaan menerima nasib sebegitu? Apakah wajar murid tersebut sanggup meletakkan kakinya ke perut seorang guru yang telah memberinya ilmu pengetahuan? Apa hendak jadi dengan murid-murid sekarang?

Sudah hilangkah rasa hormat mereka kepada orang yang mengajar mereka mengenai dunia pengetahuan? Bagaimana nasib anak-anak mereka nanti jika tiada guru yang sanggup mengajar lagi? Namun aku yakin...kerjaya seorang guru menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi. Teringat aku kepada seorang rakanku yang juga seorang penulis PTS (Tn.Mya Marja):). Bukunya mengenai "Guru Arkitek Bangsa" menyedarkan kepada aku betapa besarnya pengorbanan untuk menjadi seorang guru dan betapa besarnya tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Semoga rakanku ini adalah seorang guru yang tabah dan hebat:)

Wahai anak bangsaku!Hormatilah gurumu...Mereka adalah lilin yang memberikan kepadamu cahaya untuk kamu menggapai impian yang nyata. Jangan dipersiakan ilmu yang diberikan serta dicurahkan. Sayangi mereka kerana keredhaan mereka juga adalah tiket kebahagiaan untuk kamu hidup.!

Jadilah anak bangsa yang berguna dan letakkan gurumu di tempat yang mulia!

Semoga tiada lagi kes-kes sebegini yang akan mujud.Amin.