Monday, July 28, 2008

Kemanisan Setiap Ujian

Sudah lama rasanya tidak menulis sesuatu di ruangan blog (rumah kecilku) ini.

Berehat lama kerana insiden yang tidak terduga. Namun segala yang berlaku sebagai tanda kemanisan ujian dari Allah Taala. Perasaan menerima jahitan di kepala membayangkan betapa aku perlu tabah lagi menghadapi setiap liku perjalanan hidupku.

Ketika berehat ini...alhamdulillah ada idea yang menarik untuk aku tulis sebagai sinopsis untuk menghasilkan koleksi karyaku nanti. Setelah lama mengalami kebekuan minda akhirnya datang idea yang mencurah-curah. (agaknya berkat jatuh yang dialami sehingga kepala berjahit jadi minda yang beku menjadi cair agaknya hi..hi..).

Tahun ini belum ada satu karya baru yang dapat aku hasilkan dengan selengkapnya. Semuanya tertangguh. Tahap kesihatan yang turun naik juga faktor penyumbang utama kepada keadaan ini. Ditambah kesibukan kini mahu menjadi tuan rumah bagi satu majlis penting untuk keluarga tersayang:).

Walaupun masih terasa sakit badan-badan ini namun urusan untuk memastikan majlis yang akan berlangsung perlu dititikberatkan mengikut kudrat yang masih ada.

Semoga Allah memberikan kekuatan.Amin

Tuesday, July 1, 2008

Kebekuan Minda

Hari ini seperti biasa aku mengadap PC. Lazimnya membaca berita yang berlaku di negara tercinta. Keadaan bosan tiba-tiba menjenguk tiba lantaran bahan-bahan berita yang dipaparkan sebagai berita berkisar tentang ragam manusia yang sentiasa betelagah. Pelbagai cerita timbul sehingga memberikan kegerunan di hati ini. Masyaallah...inikah tanda-tanda kiamat akan muncul tidak lama lagi. Semoga diri ini tergolong di dalam hambaMU yang tidak lalai. Amin.

Sudah lama rasanya tidak menulis sebarang informasi di blog ini. Ini yang terjadi apabila diri mengalami penyakit yang tidak diundang iaitu kebekuan minda (istilah sendiri). Ianya berlaku apabila diri merasakan sukarnya untuk menghasilkan sebarang bentuk penulisan akibat minda ini tidak dapat memikirkan sesuatu yang kreatif dan melahirkan idea-idea yang bernas.

Rasanya banyak yang hendak ditulis namun kekeringan idea menjadi sebab utama. Kerana kebekuan minda yang dialami ini menjadi beberapa sinopsis yang telah aku buat tertangguh penulisan cerita lengkapnya. Cuba mencari jalan untuk mencairkan minda ini seperti bercuti namun keadaan masih tetap sama.

Agaknya sengaja mahu diberikan kemudahan agar minda ini diberikan sedikit rehat supaya ianya dapat berfungsi dengan lebih baik:)