Wednesday, April 23, 2008

Menikmati Alam Ciptaan Tuhan



Pada 19hb April 2008 saya bersama keluarga berkesempatan bercuti ke Cameron Highland. Di sana dapat saya melihat suasana yang menghijau. Pelbagai jenis bunga dapat dilihat dan dijual dengan harga yang berpatutan.

Pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran yang segar dijual kepada para pengunjung yang datang. Kesibukan para pengunjung membeli belah melambangkan kita semua menginginkan sesuatu yang segar dan baik.

Kenyamanan yang dirasakan dapat membangkitkan perasaan yang tenang dan selesa. Semoga ciptaan tuhan ini dipelihara dengan baik tanpa ada sifat kerakusan manusia yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Thursday, April 17, 2008

BERFIKIR SEJENAK

Tatkala aku melihat sekeliling, terlalu banyak yang perlu diteliti dan mencari erti di sebalik apa yang berlaku. Dua kisah ringkas yang aku paparkan bukan membuka keaiban seseorang tetapi untuk tatapan bagi mereka yang tahu berfikir.

Seorang nenek yang sudah berusia tinggal bersendirian di sebuah rumah yang menjadi tempat perlindungannya dari hujan dan panas. Segala keperluan diri diuruskan sendiri tanpa ada bantuan. Keadaan fizikal yang tidak sempurna menjadikan pergerakannya agak terbatas. Terpaksa merangkak untuk memasak, mandi, dan sebagainya. Usia yang mencecah 80 tahun tidak menghalangnya untuk menunaikan ibadat terhadap penciptanya. Jika tiada berdaya dia hanya mampu berpuasa sehingga merasakan diri berupaya untuk menyediakan segala yang diperlukan. Namun kewarasan akalnya masih terserlah. Masih mengenali tetamu yang datang walaupun tidak diundang. Masih mampu tersenyum dan bercerita pelbagai kisah sebagai hiburan. Kagumnya aku terhadap ketabahan wanita ini. Zaman mudanya penuh rintangan kerana terpaksa berhijrah dari negara seberang untuk mencari sesuap nasi di negara bertuah ini. Berenang merentas lautan bagi mencari satu kehidupan yang sempurna untuk keturunannya nanti. Walaupun mengakui masih mempunyai pewaris yang sah namun hanya sesekali menjengukkan diri melihat dirinya. Itu pun atas alasan kerana kesempitan wang. Nenek ini dicari bagi meringankan permasalahan dari segi kewangan yang dihadapi. Atas dasar belas dan kasih seorang nenek terhadap cucu, mana mungkin wang yang disimpan tidak dihulur. Namun katanya dia merasa bahagia kerana masih diberi kesempatan untuk mengingati tuhannya.

Berlainan pula kisah seorang datuk yang sudah mencapai usia 78 tahun. Masih mempunyai isteri di sisi dan keluarga untuk didampingi. Fizikalnya sempurna dan membolehkan dirinya pergi ke mana sahaja yang diinginkan. Segala keperluan diri disediakan tanpa dipinta. Dikelilingi anak dan cucu yang sentiasa keriangan. Namun dugaan Allah tidak pernah dijangkakan oleh akal manusia. Datuk ini menghadapi masalah nyanyuk. Apa yang dilakukannya tidak melambangkan dirinya sudah berusia malah melebihi tabiat kanak-kanak. Berjalan keliling kampung tanpa tujuan. Mengadu tidak diberi makan dan membuang segala sisa perkumuhan di mana sahaja mengikut kehendaknya. Oh!Bersabar bagi mereka yang menjaganya. Sayangnya dirinya tidak dapat melakukan ibadat seperti orang lain walaupun dikelilingi harta. Hidup di zaman mudanya penuh dengan kegembiraan dan suka berhibur sehingga tiada masa langsung untuk mempersiapkan diri apabila dijemput Ilahi. Tetapi aku bukan orang yang layak untuk menghukum. Siapa aku untuk mengatakan semua ini.

Kedua-dua paparan ini menyedarkan kepada aku bahawa perjalanan hidup ini sudah diatur oleh Maha Pencipta. Setiap daripada kita pasti akan menerima ujian bagi mempertingkatkan keimanan. Kesabaran perlu untuk menghadapi segalanya. Harta yang banyak tidak menjamin untuk peroleh kebahagiaan. Apa yang pasti kekuasaan manusia tidak dapat mengatasi kekuasaan Yang Esa. Pasti ada hikmah disebaliknya yang tidak dapat dicapai oleh akal kita. Apakah nasib kita di kemudian hari?

Wednesday, April 16, 2008

KENANGAN DI PESTA BUKU 2008




Tanggal 12 April 2008 yang lalu aku bersama suami berkesempatan mengunjungi Pesta Buku yang diadakan di PWTC. Saban tahun telinga ini hanya mendengar mengenai kehebatan sambutan pesta buku ini apabila diadakan. Namun tahun ini aku dapat merasainya sendiri kemeriahan berada di antara ribuan atau mungkin jutaan pengunjung ke pesta buku itu.

Melangkah ke Dewan Tun Razak memberikan aku satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Keterujaan untuk singgah di booth PTS seakan meluap-luap. Mula memasang angan-angan ingin membeli beberapa buah buku sebagai koleksi peribadi. Beberapa nama penulis sudah bermain diminda kerana aku ingin berjaya memiliki karya mereka.

Keadaan pengunjung yang berpusu-pusu untuk memasuki booth PTS memberikan aku satu tanda bahawa PTS memang sudah menjadi pilihan pengunjung. Tidak kira peringkat umur mahupun jantina, masing-masing mempamerkan wajah yang ceria apabila berkunjung ke booth ini. Ada juga kanak-kanak yang memanggil kawan-kawannya kerana sudah menemui booth PTS. Ada juga antara guru yang membawa murid-muridnya memberitahu beli buku di booth PTS kerana banyak buku yang menarik dari isi kandungannya. Aku yang mendengar hanya tersenyum dan berkata di dalam hati "PTS sudah hebat sekarang!"

Ada juga yang masih terpinga-pinga apabila kawannya memberitahu mengenai PTS. Namun apabila dijelaskan "PTS ini yang kita baca buku Sahabat Kole Kacang itu..." Mendengar sahaja tajuk buku yang dikatakan baru kawannya tersenyum dan mengiyakan lalu masuk ke dalam membelek dan membeli beberapa buah buku.

Semua ini memberi aku petanda bahawa PTS sudah semakin dikenali dan buku-buku yang diterbitkan menjadi pilihan para pembaca.

Walaupun masa yang aku ambil di booth PTS dan di Pesta Buku tidak lama
, namun hati ini begitu riang dapat bersama-sama pengunjung lain merasai suasana di situ. Tetapi di hati kecil ini merasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan guru yang banyak membimbing aku sehingga karya aku berjaya diterbitkan.

"Ya Allah!Semoga Engkau melimpahkan kerahmatan yang berpanjangan kepada guruku yang mulia."

Wednesday, April 9, 2008

Seraut Wajah Manis


Semalam seperti biasa aku mempunyai temujanji untuk mengambil darah. Sampai sahaja di HUKM aku berjalan seperti biasa dengan kemampuan yang ada. Beberapa minit berjalan kakiku mula mengalami ketegangan. Terasa tidak mampu meneruskan langkahku.
Suamiku meminta aku berehat sebentar. Setelah duduk aku merasakan betisku mula terasa kebas. Suamiku seperti biasa mengurut-ngurut sedikit bagi memberikan sedikit kelegaan kepadaku. Wajahnya agak cemas bimbang aku tidak berdaya untuk meneruskan langkahku. Setelah 15 minit berehat aku mendapat tenaga baru dan terus berjalan menuju ke tingkat yang menempatkan klinik perubatan 2.
Aku berjalan sambil mataku melihat keadaan orang ramai yang masing-masing mempunyai urusannya yang tersendiri. Tiba-tiba mataku terpaku pada sekujur tubuh yang sedang duduk di kerusi roda sambil ditolak oleh ibunya. Semakin lama semakin dekat lalu dia melemparkan senyuman yang manis sekali. Aku tergamam dan cuba mengingati siapakah dia?

Aku membalas senyumannya sambil mengangkat tangan kepadanya. Dia membalas lambaianku. Keadaan orang ramai yang sedang lalu lalang tidak membenarkan aku berhenti untuk bertanya siapakah dia. Sampai di klinik perubatan 2 sambil menanti no. giliranku dipanggil aku cuba mengingati siapakah gadis manis yang senyum kepadaku. Setelah berselawat beberapa kali baru memoriku berputar mengingatkan kepada aku siapakah gadis manis tadi.

Dialah salah seorang pesakit yang mendapat latihan terapi cara kerja bersamaku. Walaupun sekali menemuinya pada satu sesi latihan tetapi dia tetap mengingatiku. Gadis itu baru berusia 17 tahun namun hidupnya sudah dihabiskan di atas kerusi roda. Wajah manisnya tidak menampakkan keperitaannya menghidapi penyakit saraf yang membuatkan dirinya tidak mampu berdiri dan berjalan sendiri. Selain itu dia juga mengalami masalah otot dan juga tulang. Semua keperluannya diuruskan oleh ibunya.

Aku tersenyum sendirian. Wajahnya sentiasa membayangi diriku. Aku kagum dia mampu menerima segala yang berlaku kepada dirinya. Wajahnya sentiasa mengukir senyuman walaupun kadangkala dia tidak dapat melakukan latihan terapi dengan baik. Usianya yang masih muda memberikan kepada aku satu gambaran bahawa usia tidak pernah menjadi ukuran kepada Maha Pencipta untuk memberikan ujiannya.

Apabila melihat diriku...aku bersyukur kerana aku masih mampu menguruskan diriku sendiri dengan keupayaan yang ada. Aku bisa berjalan walaupun perlahan dan dipimpin. Aku mampu melakukan kerja-kerja rumah setakat yang termampu. Masih berupaya menyediakan hidangan untuk suami tercinta. Aku bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyayang walaupun diri tidak sesempurna seperti isteri orang lain.

Wajah gadis itu tetap terpahat dimindaku. Aku berdoa semoga dirinya diberikan keringanan dalam menghadapi dugaan tuhan. Semoga dia diberikan kesembuhan daripada penderitaan yang dialaminya. Semoga dia dikelilingi dengan orang-orang yang mengasihi dirinya sentiasa. Amin.

Thursday, April 3, 2008

Renungan Jumaat



Allah adalah penguji
Manusia adalah penerima ujian
Dunia adalah medan ujian
Segala yang berlaku adalah bahan ujian

Rahmat tuhan sentiasa mengiringi
Bagi hamba yang sentiasa mengingati
Bahawa dunia ini bukan kehidupan abadi
Lantaran sudah menanti kehidupan ukhrawi

Sujud aku menghadap Ilahi
Berteleku memuhasabah diri
Semoga keperitan yang dihadapi
Lambang KasihMU tuhan atas diri ini

Tidak sesekali menyesali
Jauh sekali terkilan rasa
Segala yang berlaku atas diri
Hanya terus bersyukur dan redha

Semoga terhapus segala dosa
Hilang segala titik noda
Semoga keampunan sering tiba
Dan ketenangan terus menyelimuti jiwa.


*Buat sahabat yang sentiasa mengingati...sememangnya benar apa yang dikatakan
Terkadang kita memilih antara dua
Namun kadangkala kita menerima
sesuatu yang tidak terduga.

Mungkin ia lambang kasihNYA
Yang pasti kita redha menerima segala ketentuannya.

Terima kasih buat sahabat...

NOVEL INSPIRASI

Setiap dari kita berbeza minat dan rasa untuk menikmati sesuatu. Apabila bercakap mengenai novel, pelbagai jenis tema yang boleh diperolehi menerusi novel-novel yang terdapat di pasaran. Sebut sahaja novel yang bertemakan cinta, kesengsaraan, keriangan, dan bermacam tema lagi pasti ada. Semua itu boleh diperolehi di PTS. Namun ada satu jenis novel yang boleh memberikan kepada setiap pembaca erti semangat dan sumber motivasi.

Apa yang saya maksudkan adalah jenis novel inspirasi. Novel ini turut diterbitkan oleh PTS sebagai langkah untuk memberikan satu sumber inspirasi kepada para pembaca mengenai sesuatu. Salah satu novel jenis ini adalah:


Novel ini dihasilkan oleh sahabat saya seorang penulis berbakat yang merupakan seorang pendidik. Dia yang saya maksudkan adalah Tn. Mya Marja. Novel ini adalah mengenai:

(Disalin dari web PTS)

Menyusuri perjalanan Fuad membina kerjaya dalam bidang perguruan. Dengan keputusan SPM yang kurang cemerlang, beliau tetap meneruskan hasrat mengisi borang kemasukan ke maktab perguruan. Namun nasib tidak menyebelahinya kerana tiada sebarang jawapan daripada pihak maktab selepas enam bulan. Akhirnya beliau meneruskan pelajaran ke tingkatan enam dan berusaha mendapatkan keputusan cemerlang bagi memasuki maktab perguruan.

Selepas berusaha siang malam, beliau akhirnya berjaya diterima masuk ke maktab perguruan. Maka bermulalah perjuangannya dalam usaha mengejar cita-cita menjadi guru. Banyak perkara yang ditempuhi menyedarkan dirinya, betapa menjadi guru itu perlukan kecekalan serta kesabaran yang tinggi, bukan sekadar pilihan terakhir sekiranya tidak mendapat kerja.

Beliau tidak mahu hanya sekadar menjadi guru biasa. Banyak peluang terbuka luas baginya memajukan kerjayanya dalam profesion perguruan dan mencurahkan bakti kepada anak bangsa. Apakah peluang itu? Bukankah tugas guru hanya mengajar di dalam kelas? Kata orang, kerjaya guru tidak akan ke mana. Fuad membuktikan yang beliau mampu menjadi guru yang bukan sekadar guru. Baginya guru adalah arkitek yang melakar tamadun bangsa.


Novel ini akan terbit pada 8hb April 2008 dan dijual dengan harga RM24.00. Dapatkannya dengan segera pasti anda tidak akan kecewa!





Wednesday, April 2, 2008

DUNIA HAMPIR KIAMAT?


Banyak peristiwa yang berlaku di akhir zaman ini memberi tanda kepada makhluk di dunia ini bahawa dunia hampir kiamat. Benarkah ianya hampir berlaku. Tetapi bagi saya 'dunia belum berakhir'.


Benar!Dunia Belum Berakhir!

Sebenarnya 'Dunia Belum Berakhir' yang saya maksudkan merupakan judul novel jibunsyi saya yang pertama. Ia diterbitkan oleh PTS FORTUNA.




Ianya mengisahkan Arif seorang anak yang mempunyai seorang ibu yang tegar menghadapi segala kepayahan hidup demi membesarkan anak-anak. Arif serta adik beradiknya yang lain terpaksa menempuh kesulitan demi mendapatkan sesuap nasi demi membantu ibu tercinta walaupun ayahnya masih ada. Arif bercita-cita mahu memberi kesenangan kepada ibunya sehingga dia berjaya mendapatkan segulung ijazah. Namun takdir Ilahi mengatasi segalanya. Dugaan yang tidak pernah terduga terpaksa dihadapinya sehingga impian yang diimpikan terbantut di pertengahan jalan. Arif redha menghadapinya walaupun jauh disudut hatinya dia terkilan kerana apa yang dicitakan untuk ibu tersayang gagal ditunaikan. Walaupun dugaan berat terpaksa ditempuhinya, namun dia menerima sesuatu yang lebih berharga di dalam hidupnya.

* Mengapakah Arif terpaksa bersusah payah kerana ayahnya masih ada? Apa yang dihadapi oleh Arif sehingga membantutkan impiannya walaupun ijazah sudah berada di genggamannya? Apakah benda yang berharga yang diterima oleh Arif di dalam perjalanan hidupnya sehingga dia merasakan kepayahan selama ini tertebus?
Semua jawapannya ada di dalam novel "Dunia Belum Berakhir". Novel ini akan terbit pada 7hb April 2008! Ia juga boleh diperolehi di Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung di PWTC dari 3-14 April 2008. Dapatkannya di booth PTS!