Thursday, May 15, 2008

Doa dan Harapan.


Lirikan mataku mengekori setiap sudut
Menjengah sebentar melihat alam ini
Penuh warna warni laksana pelangi
Namun hakikatnya belum pasti
Bisa digapai erti sebuah kebahagiaan.

Kesibukan hamba bernama manusia
Mencari sesuap nasi mengalas perut
Kadangkala terpaksa berkejar ke sana sini
Untuk merentas masa yang semakin suntuk.

Ada pelbagai jenis manusia
Yang bergaya mahupun papa
Masing-masing punya matlamat
Untuk mengecap hidup yang nikmat.

Namun jangan sesekali kita lupai
Bekalan untuk akhirat yang pasti
Mengejar kesenangan tidak berhenti
Siang malam diulit mimpi.

Linangan manik-manik jernih
Membasahi pipi
Bukan kerana menyesali
Memikirkan nasib diri
Apabila berhadapan dengan Ilahi.

Cukupkah bekalan yang dibawa nanti
Tergolongkah diri di dalam kelompok
Sunnah Wal Jamai
Hanya doa yang mampu mengiringi diri
Semoga akan berbahagia di sana nanti...

Thursday, May 1, 2008

Cerita Daripada Seorang Kanak-kanak


Seperti biasa aku menanti kehadiran anak muridku. Sedang aku leka membaca suratkhabar, terdengar salam diberi dari luar. Aku lantas menjenguk dan tersenyum melihat wajah comel yang muncul di hadapanku sambil menjawab salam. Sebelum memulakan pengajian hari itu, sempat juga muridku bercerita.

"Maaf ustazah, saya terlewat hari ini."
"Tidak mengapa. Tetapi mengapa kamu lewat hari ini? Tertidurkah?"
"Tidak. Saya leka melihat gambar perkahwinan ibu dan ayah saya. Gambar itu cantik sangat!"

Aku hanya tersenyum lantas bertanya apabila anak muridku menggaru-garu kepala.
"Mengapa?"
"Saya hairan. Saya lihat gambar ibu dan ayah kahwin, namun saya tiada di dalam gambar itu. Ustazah tahukah saya di mana ketika itu?"
Aku hanya tersenyum lalu bagi meredakan persoalan yang bermain di fikirannya aku pun menjawab, "Elok jika kamu bertanya kepada ibu kamu. Lagi pula ustazah tiada di situ ketika ibu dan ayah kamu berkahwin."
Kanak-kanak itu tersenyum dan menjawab, "Betul juga!Terima kasih ustazah."

Apabila mengenangkan apa yang berlaku sebentar tadi aku tersenyum sendirian. Kadangkala kanak-kanak ini terlalu melucukan namun adakalanya persoalan yang mereka kemukakan perlu jawapan yang berlapik dan mudah diterima oleh mereka mengikut tahap penerimaan oleh akal mereka.