Wednesday, March 26, 2008

Hidup Perlu Memilih

Pernahkah anda terfikir bahawa kita adalah penentu apa yang terbaik untuk diri sendiri?

Hidup ini tidak sekompleks mana yang difikirkan. Kita hanya perlu memilih satu dari dua benda dalam satu masa. Jika anda memilih:-

Rajin maka tiada malas dalam diri.
Sabar maka hilang perasaan marah.
Kenyang maka tiada rasa kebuluran.
Rehat maka jauh dari kesibukan.
Kejayaan maka runtuhlah kegagalan.
Bersatu maka tiada istilah perleraian.
Berjimat maka terhapus pembaziran.
Memaafkan maka tiada wujud dendam.
Lalu apa yang penting adalah jika anda memilih syurga maka taati perintahNYA dan jauhi laranganNYA serta berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah maka jauhlah diri dari api neraka.Amin.

Kesimpulannya: Kita yang menentukan apa yang terbaik untuk diri. Pilihan ada ditangan diri sendiri. Oleh itu pilihlah hanya yang terbaik dan sesungguhnya kita ada kuasa untuk memilih.

Apa yang anda pilih dalam hidup ini?

Sunday, March 23, 2008

Berita Dunia Sastera Hari ini


Ini adalah berita mengenai dunia sastera di Malaysia yang saya baca hari ini. Berita ini disalin daripada utusan Malaysia bertarikh 24hb Mac 2008.





Terjemahan sastera masih lemah

Oleh ABD. AZIZ ITAR
(aziz.itar@utusan.com.my)




BIDANG kesusasteraan yang meliputi antaranya novel, puisi dan cerita-cerita rakyat seharusnya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Sama ada karya-karya sastera dari luar negara diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ataupun karya-karya sastera Melayu yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa asing.

Ini kerana, penterjemahan boleh memberi banyak manfaat terutamanya dari segi pemindahan ilmu pengetahuan berdasarkan keaslian dan mutu sesuatu karya sastera yang diterjemahkan itu.

Karya-karya sastera agung dari luar negara yang diterjemahkan tentunya akan membawa bersama idea, aspirasi seni, budaya serta pemikiran positif yang boleh dikongsi oleh khalayak pembacanya.

Sebagai contohnya, ketamadunan bangsa-bangsa yang tertua dunia seperti Mesir purba, Cina, Yahudi dan Parsi mempunyai banyak karya sastera agung, tetapi sayangnya ia tidak banyak yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Itu merupakan antara fenomena yang sekian lama berlaku dalam bidang penterjemahan di negara ini apabila kita ketandusan terjemahan karya-karya sastera agung dari luar negara ke dalam bahasa Melayu.

Perkara itu disuarakan oleh Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh pada Ceramah Terjemahan Umum bertajuk Tepat Itu Indah di Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut beliau, selama ini bidang terjemahan kita lebih tertumpu kepada ilmu-ilmu yang meliputi bidang sains dan teknologi sahaja.

Sedangkan katanya, bidang sastera yang mencakupi pelbagai genre juga memerlukan penterjemahan di mana karya-karya sastera agung yang diterjemahkan mampu mencerna pemikiran dan jati diri para pembaca.

“Bidang terjemahan di negara kita masih belum lancar. Ada kalanya kita ada banyak ruang masa tetapi sayangnya masalah kewangan pula menghalang untuk melaksanakan program seperti ini.

“Ini kerana, proses terjemahan mengambil masa yang lama. Sebab itu, sesuatu program terjemahan itu perlu perancangan yang rapi selain mendapat kerjasama dari pihak-pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, ITNM misalnya, boleh bekerjasama dengan universiti- universiti tempatan bagi mendapatkan kepakaran mereka dalam melakukan sesuatu penterjemahan.

Muhammad yang menyifatkan bidang terjemahan sebagai ‘kerja sengsara’ tidak menafikan bidang ini masih kekurangan penterjemah dalam bahasa-bahasa tertentu.

Sebagai contohnya, untuk menterjemah karya Sepanyol, seseorang penterjemah itu bukan sahaja perlu mahir dalam bahasa itu tetapi juga harus mampu menggunakan istilah dan perkataan yang tepat dalam terjemahannya.

Di negara ini, beliau melihat banyak kelebihan khususnya penterjemahan dalam bahasa Inggeris tetapi tidak ramai yang boleh menterjemah ke dalam bahasa-bahasa lain.

“Tidak seperti suatu ketika dulu, kita ada tokoh seperti Tun Sri Lanang yang boleh menguasai bahasa-bahasa seperti Parsi, Jawa, Tamil dan Arab. Sebab itu, beliau bukan sahaja boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa tetapi juga sebagai penterjemah.

“Apapun bagi saya, setiap orang adalah penterjemah sama ada secara rasmi ataupun tidak. Malah, sukar untuk kita hidup dengan satu bahasa sahaja,” ujarnya.

Selain kekurangan penterjemah yang mahir, bidang ini juga merupakan suatu bidang yang sukar untuk diceburi kerana ia memerlukan daya pemahaman bahasa yang tinggi.

Justeru, beliau menganggap kerja penterjemahan sebagai suatu kerjaya yang ‘memilukan’ jika proses terjemahan itu gagal mencapai objektif maksudnya yang sebenar.

“Bukan sahaja memilukan tetapi jika tersalah terjemah ia boleh merosakkan bahasa dan makna sesebuah karya itu. Ini tentunya boleh dikatakan sebagai ‘berbohong’ di mana ia tentunya berdosa bagi seseorang penterjemah itu.

“Apatah lagi terjemahan itu dilakukan ke atas bahasa-bahasa bangsa yang boleh dianggap sebagai antara tertua di dunia seperti Arab dan Cina yang susah untuk dipelajari,” jelasnya.

Ketepatan terjemahan yang antara lain bermaksud betul, tidak salah, tidak kurang atau tidak lebih, tidak berselisih sedikit pun, setia pada yang asli, tidak menyeleweng dari yang asal dan mengikut bahan aslinya harus diberi perhatian oleh para penterjemah.

Inisiatif

Selain peri pentingnya terjemahan karya-karya luar ke dalam bahasa Melayu, kita juga menurut Muhammad harus mengambil inisiatif menterjemah karya-karya sastera tempatan ke dalam bahasa-bahasa asing.

Jelasnya, sastera Melayu kaya dengan pelbagai karya seperti pantun, puisi, gurindam, cerita-cerita rakyat dan novel yang belum diadaptasi ke dalam bahasa-bahasa asing.

“Kita mempunyai koleksi karya-karya sastera tempatan yang banyak tetapi sayangnya kita belum menterjemahkannya ke dalam bahasa-bahasa asing. Selama ini, kalau ada pun usaha itu ia lebih ke arah bahasa Inggeris.

“Kita sepatutnya menterjemahkan karya-karya kita misalnya ke dalam bahasa Sepanyol yang merupakan bahasa kedua di dunia yang paling banyak dituturkan,” katanya.

Penterjemahan juga meliputi bidang yang luas dari segi pemahaman dan gaya bahasa yang digunakan di mana ia mengikut kreativiti seseorang penterjemah itu.

Muhammad memberi contoh pantun berikut:

Apa guna pasang pelita,

Jika tidak dengan sumbunya?

Apa guna bermain mata,

Kalau tidak dengan sungguhnya?

Terdapat dua terjemahan yang telah dilakukan oleh penterjemah seperti Hamilton dan Winstedt yang menterjemah pantun tersebut dengan gaya serta olahan masing-masing.

Hamilton menterjemah pantun itu seperti berikut:

Why attempt to light a lantern,

If the wick should not be in it?

Why attempt to smile and wanton,

If you do not really mean it?

Sementara itu, ini pula terjemahan Winstedt berdasarkan pantun tersebut:

If there’s no wick within the lamp,

To light it toil is thrown away,

And what reck i loving looks,

Except as fuel for love’s plays.

Dalam pada itu, Pengurus Koporat ITNM, Razin Abd. Rahman tidak menafikan tentang kekurangan terjemahan yang sedang dialami dalam bidang terjemahan negara.

Katanya, sebelum ini ITNM hanya mampu menterjemah sekitar lima buah buku setahun tetapi kini pihaknya mampu menterjemah hampir 17 buku setahun.

“Kami akan cuba mempertingkatkan jumlah penterjemahan buku secara lebih intensif pada masa depan. Dengan adanya sokongan daripada banyak pihak terutamanya kerajaan kami yakin usaha itu akan dapat dicapai.

“Selepas ini kami menyasarkan untuk menterjemahkan 10 buah buku hasil karya-karya sastera agung dunia ke dalam bahasa Melayu,” ujarnya.



Apa kata para penterjemah di Malaysia?

Tuesday, March 18, 2008

Impian



Tatkala melihat kaabah dan masjid Nabawi di kaca tv terasa sayu hati ini. Menyimpan satu impian yang tidak akan pudar. Saban waktu sentiasa memanjatkan doa agar diri ini diberi peluang untuk menjadi tetamu Allah.

Kerinduan kadangkala menggamit diri ini apabila melihat tempat-tempat di tanah 'haramain' iaitu Mekah dan Madinah. Semoga suatu hari nanti segala impian akan tercapai.


Siri Cerita Hikayat Semi-klasik

AKAN TERBIT! AKAN TERBIT!


Saya amat teruja apabila mengetahui sebuah buku akan terbit. Siri bacaan yang berunsur hikayat tetapi menggunakan bahasa semi-klasik kini muncul. Jadi mudah kepada pembaca untuk membacanya tanpa mengerutkan lagi dahi untuk memahami sebuah cerita. Mungkin ramai yang menggemari cerita-cerita hikayat tetapi masalah yang dihadapi adalah untuk memahami jalan ceritanya kerana bahasa yang digunakan terlalu klasik. Sebagai memenuhi kehendak pembaca, siri cerita hikayat terbitan PTS ini telah mengambil jalan penyelesaian yang akan digemari oleh semua golongan iaitu dengan menerbitkan buku siri hikayat dengan menggunakan bahasa semi-klasik iaitu gabungan antara bahasa klasik dan bahasa moden.

Salah satu cerita siri hikayat semi klasik yang akan terbit adalah:



Ini adalah karya sahabat saya Dr. Umi Kalthum Ngah atau dikenali sebagai NeenaUmi. Buku ini akan berada di pasaran pada 24 March 2008 ini. Ianya dijual dengan harga RM23.00/RM26.00 (Sabah dan Sarawak).

Sinopsis: (Di salin dari web PTS)

Fenomena silih bergantinya pengawal di kota bertembok tinggi berjeriji besi itu seringkali menjadi bahan tontonan sepasang mata bundar, milik seorang gadis sunti, di sebalik jendela berjerjak besi, iaitu Tuan Puteri Salsabila. Begitu jugalah aktiviti harian di sekitar kota. Terutamanya suasana hiruk-pikuk, tawar menawar dan lelongan yang terdapat di pasar dan tepian jalanan. Begitu mengasyikkan. Terasa begitu kepingin sekali hati Si Tuan Puteri untuk berada di tengah-tengah kebingitan dan kerancakan suasana di luar sana. Adakah Puteri Salsabila berjaya menyamar menjadi rakyat biasa? Apakah taktik yang digunakan bagi merealisasikan impiannya?


* Kepada semua penggemar cerita-cerita hikayat, jangan lupa dapatkan buku ini untuk menambahkan koleksi bacaan anda!

Thursday, March 13, 2008

Ulasan Buku.

Hari ini saya memilih Harian Metro untuk melihat paparan berita yang ditulis di dalamnya. Sehelai demi sehelai mukasuratnya saya selak. Ada berita yang menyentuh perasaan dan ada juga berita yang agak menakutkan. Di dalam benak fikiran ini saya terfikir bahawa setiap hari ada sahaja peristiwa yang berlaku di dalam masyarakat yang perlu kita ambil tahu.

Sehelai-demi sehelai saya baca sehingga sampai ke ruangan Ad-din. Di ruangan ini mata saya tertumpu kepada satu ruangan untuk ulasan buku. Setelah membacanya saya tersenyum sendirian. Saya turut berbangga buku ini menjadi pilihan untuk pengarang mengulasnya. Mahu tahu? Inilah buku yang saya maksudkan: (Di salin daripada Harian Metro bertarikh 14.03.08).




Ulasan Buku: Semangat kental pejuang Islam Uthmaniyah


Tajuk: Penakluk Andalusia

Penulis: Luqman Ghazzi


Terbitan pertama: 2008

Penerbit: PTS Islamika

Harga: Semenanjung Malaysia RM15, Sabah/Sarawak RM18



SATU ketika orang Islam dihormati dan disegani lawan kerana pelbagai kejayaan dicapai, malah bersama sistem nilai terpuji dengan sebahagian besar penjuru dunia dikuasai Muslim membuatkan semakin ramai berminat ikut serta dalam agama suci ini.

Orang Islam menakluki wilayah dari Timur Tengah hingga ke selatan benua Eropah dalam tempoh kurang daripada 100 tahun. Perjuangan itu berakhir di Perancis yang mewakili Eropah Barat dan di Vienna, Austria, Eropah Timur.

Mereka juga dapat menakluki wilayah utara benua Afrika, seperti Mesir dan Maghribi, malah pada era Uthmaniyah mereka berjaya menewaskan empayar besar Byzantium yang ketika itu menguasai Asia kecil, sekali gus menegakkan syiar Islam di negara terbabit.

Semua kejayaan itu diperoleh kerana kesungguhan, kecekalan dan keberanian orang Islam, di samping adanya ketaatan kepada pemimpin, sehingga sanggup mengharungi sebarang keadaan walaupun terpaksa bergadai nyawa sendiri.

Kekentalan mereka baik di daratan mahupun di lautan jelas tergambar, misalnya dalam misi ketenteraan menentang tentera Byzantium yang menguasai Laut Merah sejak pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dan serangan ke atas Pulau Cyprus.

Disebabkan semangat juang yang tinggi, sifat sabar dan tidak mudah putus asa daripada mengharapkan pertolongan Allah mereka juga berjaya merentasi Selat Gibraltar untuk menawan selatan Sepanyol yang ketika itu dikuasai orang kafir.

Kehidupan mereka berdisiplin, memelihara solat, hati mereka teguh dan yakin kepada pertolongan Allah, yang menjanjikan kemenangan dan kejayaan kepada orang beriman.

Oleh kerana itu, tiada istilah pengecut atau menyerah sebelum berperang bagi generasi terbabit. Mereka berdepan musuh dengan berani, tidak gentar untuk gugur sebagai syahid, semata-mata menegakkan agama Allah, Islam dan hingga kini Islam diterima ramai.

Bagi menyingkap kegemilangan generasi Muslim itu, PTS Islamika menampilkan sebuah buku berjudul Penakluk Andalusia yang ditulis Luqman Ghazzi.

Setebal 175 halaman, buku pahlawan Muslim itu ditujukan kepada remaja supaya dapat menjadikan generasi dulu sebagai teladan, terutama dalam membentuk jiwa kental dan peribadi berani menghadapi cabaran hidup.

Antara diceritakan membabitkan kisah Khalid al-Walid, Jaafar bin Abu Talib, Hamzah, Salman al-Farisi, penakluk Andalusia Tariq bin Ziad, taktik Abdullah bin Zubir menghadapi Raja Berber, taktik perang Abu Ubaidah bin al-Jarah dan keberanian Sultan Muhammad al-Fateh.

Kisah Sultan Muhammad al-Fateh yang menaiki takhta pada usia 19 tahun sangat menarik diperhatikan, kerana pada usia yang sangat awal itu rata-rata remaja kini lebih gemar bersuka ria dan berfoya-foya.

Walaupun usia masih muda, kematangan dan keberaniannya terserlah, memimpin angkatan tentera untuk menyerang kota Konstantinopel yang dikuasai oleh empayar Byzantium.

Dalam peperangan itu, beliau menunjukkan kepintaran menggunakan menara bergerak untuk menghampiri dan menembusi kubu empayar terbabit dan berbekalkan ketabahan menghadapi musuh, akhirnya orang Islam dapat menguasai kota terbabit.

Secara fizikal, buku terbabit menampilkan koleksi cerita sejarah Islam membabitkan pahlawan Muslim dan peperangan, tetapi dari aspek lain ia menekankan persoalan jati diri, keberanian, kekentalan, kekuatan semangat dan ketaatan kepada pemimpin.

Ciri positif seperti itu pasti sesuai dipupuk dan disemat pada setiap remaja, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran global yang kian kronik.

* Buku ini sangat menarik untuk dibaca terutama bagi golongan remaja lelaki. Banyak kisah yang berlaku yang diceritakan di dalam buku ini. Tahniah untuk pengarang buku ini dan tahniah juga buat PTS Islamika kerana menerbitkan karya yang bermutu.


Tuesday, March 11, 2008

Berita Hari Ini

Berita ini disalin daripada Utusan bertarikh 12.03.2008.

Hari ini saya seperti biasa membaca berita-berita yang ditulis di dalam 'Utusan'. Seperti biasa saya akan melihat ruangan 'Sastera' untuk melihat perkembangan terkini tentang dunia sastera di negara ini. Hasilnya inilah tajuk yang saya rasa perlu diambil perhatian. Jadi di sini saya paparkan apa yang terkandung di dalamnya untuk pengetahuan bersama.

Harga buku menjadi ‘kambing hitam’?

Oleh Azman Ismail

SALAH satu ciri negara maju adalah jumlah penerbitan yang mereka miliki. Jepun, negara yang musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua misalnya berusaha memulihkan dirinya dengan menerbitkan buku sebanyak mungkin dan dijual semurah mungkin.

Buku-buku dari luar negeri juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Objektif utama tindakan tersebut adalah untuk memastikan rakyat negara itu membaca dan memperoleh ilmu-ilmu baru tanpa had.

setiap rakyat negara itu berpeluang untuk membaca buku apa sahaja. Kesan daripada tindakan dan kebijaksanaan tersebut, Jepun muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan dan akhirnya mampu menandingi keupayaan Barat.

Oleh pemikir, Francis Fukuyama dalam bukunya Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity, kejayaan masyarakat Jepun termasuk dalam perniagaan dikaitkan dengan budaya membaca mereka.

Kini penerbitan buku di Jepun menjadi suatu industri yang memberi pulangan besar. Malah, penerbit-penerbit asing turut berlumba-lumba menerbit karya-karya sama ada fiksyen atau nonfiksyen oleh pengarang negara Matahari Terbit tersebut.

Namun, kedudukan itu jauh berbeza dengan dengan perkembangannya di Malaysia. Buku masih dianggap bukan keperluan berbanding dengan hiburan dan barangan lain.

Sebahagian masyarakat Malaysia belum memahami apa itu buku dalam erti sesungguhnya. Sedangkan secara fungsional, ia dapat didefinisikan sebagai suatu kumpulan bentuk komunikasi grafik yang cukup berkesan untuk pembinaan peradaban.

“Masyarakat kita berada dalam suatu fenomena yang ‘unik’ jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun apabila mereka tidak meletakkan ilmu pengetahuan sebagai tempat tertinggi jika dibandingkan dengan bidang-bidang lain.

“Mungkin di Malaysia buku berada ditempat ketiga selepas barangan mewah dan hiburan lain. Alasan klasik yang sering diberikan ialah harganya yang terlalu tinggi (sama ada buku terbitan tempatan atau import) dan tidak mampu dibeli,” kata peminat buku, Jaafar Abdul Rahim.

Ironisnya, beliau berkata, harga buku masih jauh lebih rendah berbanding barangan mewah atau kos yang diperlukan untuk hiburan yang mampu dibeli oleh masyarakat Malaysia hari ini. Namun, segelintir masyarakat tetap menjadikan harga buku sebagai alasan mereka tidak suka membaca.

Jaafar berkata, sudah menjadi kewajaran jika buku-buku ilmiah dijual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun ia masih terjangkau oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.

Apa yang menjadi persoalan di Malaysia sekarang ialah harga buku telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh golongan berkenaan sedang pada masa yang sama mereka sanggup menghabiskan wang untuk hiburan atau membeli barangan berjenama.

“Orang kita mungkin bukan malas membaca tetapi kurang membaca dan belum sedar sepenuhnya erti pentingnya ilmu pengetahuan yang bakal diperoleh daripada buku-buku atau bahan bacaan tersebut.

“Kalau kita sekadar membaca karya-karya atau tulisan picisan, tidak mungkin kita dapat idea besar. Hanya buku yang benar-benar bermutu sahaja mampu melontarkan idealisme yang hebat,” tambahnya.

Di sisi lain beliau melihat rakyat negara ini mempunyai kuasa beli yang kukuh. Cuma buku bukan keutamaan seperti yang wujud di negara-negara maju seperti Jepun atau Amerika Syarikat.

“Cukup pelik jika ada kelompok masyarakat kita yang mampu bercuti di luar negara atau menonton perlumbaan Formula 1 dengan tiket mencecah ribuan ringgit tetapi tidak mampu membeli buku yang harganya tidak sampai RM100,” ujarnya.

Sementara itu, Jaafar berkata, masyarakat perlu didedahkan dengan pendekatan- pendekatan baru dalam pembacaan supaya proses membaca menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

Antaranya, pihak yang bertanggungjawab perlu melaksanakan kursus membaca pantas (speed reading course) untuk membolehkan pembaca memahami isi sesebuah buku dalam tempoh yang singkat.

Begitu juga dengan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohamad Zakir Syed Othman (SM Zakir) melihat harga buku hanyalah ‘kambing hitam’ oleh sebahagian masyarakat di negara ini.

Katanya, harga buku yang terlalu tinggi digunakan sebagai alasan kenapa masyarakat di negara ini kurang membaca atau dengan kata lain faktor harga tersebut menjejaskan minat masyarakat.

Sedangkan beliau berkata, masyarakat di negara ini masih belum terbuka secara keseluruhan kepada budaya keilmuan. Mereka cenderung meletakkan budaya membaca sebagai sesuatu yang tidak penting.

“Saya melihat fenomena masyarakat Malaysia hari ini sangat membimbangkan. Apa lagi ketika hedonisme televisyen dan hiburan bertapak dengan kukuh. Ada yang sanggup menghabiskan wang untuk terlibat dalam realiti TV.

“Mahu atau tidak, kerajaan perlu `memaksa’ dalam konteks menggalakkan masyarakat untuk membaca misalnya mengecualikan cukai kerana ini salah satu daripada proses untuk membentuk budaya membaca,” katanya.

Katanya, hedonisme televisyen dan hiburan tersebut telah mewujudkan satu persepsi budaya baru iaitu masyarakat yang suka berhibur, tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan tidak mahu membaca,” katanya.

Oleh itu, SM Zakir berkata, peranan kerajaan untuk mewujudkan struktur dasar pembacaan khususnya mengurangkan harga buku dan pengecualian cukai sangat penting.

Beliau berkata, jika fenomena tidak suka membaca dan enggan mendekati pengetahuan berterusan, ia akan memberi impak yang sangat besar kepada peradaban bangsa Malaysia.

“Menstruktur kembali dasar pembacaan sangat penting sama seperti tindakan kerajaan menstrukturkan ekonomi. Kedua-duanya sama penting.

“Dasar pembacaan misalnya terlalu penting untuk mengukuhkan modal insan. Jika kita melahirkan tenaga yang tidak berpengetahuan, bayangkan apa yang terjadi kepada masa depan negara ini,” tambah beliau.

Berdasarkan pandangan Jaafar dan SM Zakir tersebut, kita sesekali perlu kembali kepada sejarah. Tradisi keilmuan Melayu telah berusia lebih 600 tahun dan jauh lebih lama berbanding dengan perkembangannya di negara-negara maju.

Namun, benarkah begitu? Seperti kata Jaafar dan SM Zakir, masyarakat Malaysia hari ini tidak gemar membaca dan enggan mendekati ilmu dan salah satu ‘kambing hitam’ adalah harga buku yang dikatakan tinggi.

Hasilnya, tradisi keilmuan Melayu yang digali oleh tokoh-tokoh Kerajaan Islam Aceh, Kesultanan Melaka dan lain-lain itu seolah-olah hampir menemui noktahnya!


Jadi apa pandangan anda? Bagaimana perubahan yang perlu kita lakukan?

Sama-sama kita fikirkan!

Thursday, March 6, 2008

Karya

Inilah karya sulung saya terbitan PTS Islamika yang diterbitkan pada September 2007. Membaca buku ini kita akan terfikir sesuatu yang berlaku dalam hidup kita pasti ada iktibar dan teladan yang boleh diambil. Ianya bukan sahaja sebuah cerita bagi halwa minda tetapi pembaca memperoleh sesuatu pengajaran yang berguna. Walaupun ceritanya agak ringkas namun diharapkan ianya dapat membentuk pendidikan secara tidak langsung kepada pembaca yang dihormati.

Untuk adik-adik jangan lupa dapatkan buku kak Fieda ini. Adik-adik boleh membacanya walau di mana jua. Sebanyak 31 kisah di dalamnya beserta ilustrasi yang menarik. Adik-adik pasti menggemarinya!

Hari ini kak Fieda hendak bercerita salah satu cerita yang ada di dalamnya iaitu yang bertajuk 'Seuncang Benih Gandum'.

Di kampung Indah tinggal sepasang suami isteri yang miskin. Si suami bernama Hambali manakala isterinya bernama Shuhada. Mereka hanya mengharapkan belas ikhsan daripada jiran-jiran bagi meneruskan kehidupan mereka. Apabila dinasihati supaya bekerja mereka hanya mengatakan cukup hanya berdoa kepada Allah memohon rezeki.

Suatu hari rumah mereka didatangi seorang pengembara. Pengembara itu meminta izin hendak menumpang bermalam sebelum meneruskan perjalanan. Katanya, "Sekiranya kamu izinkan benarkan saya tinggal selama satu malam di rumah tuan."

Pasangan itu memberi keizinan. Hambali menjawab, "Silakan! Kami berasa gembira menerima tetamu."
Lalu Shuhada pun menghidangkan makanan yang ada kepada si pengembara. Katanya, "Sila menjamu selera. Hanya ini sahaja yang dapat kami hidangkan."

"Alhamdulillah. Ini juga rezeki daripada Allah."

Pada keesokan harinya, si pengembara memohon meneruskan perjalanan. Dia berkata, "Saya perlu meneruskan perjalanan. Terima kasih kerana sudi menerima saya bermalam di sini."

Hambali menjawab, "Semoga tuan selamat dalam perjalanan."

Sebelum pergi, si pengembara itu memberikan satu uncang kepada Hambali dan isterinya. Katanya, "Di dalamnya ada sesuatu yang berharga. Ia boleh merubah kehidupan kamu menjadi kaya."

Selepas pengembara itu hilang dari pandangan, pasangan suami isteri itu pun segera membuka uncang yang ditinggalkan oleh si pengembara. Namun mereka kecewa apabila melihat isinya.

Soalan: Apa yang ada di dalam uncang itu adik-adik? Mengapa mereka kecewa sedangkan di dalam uncang itu terdapat benda yang boleh membuatkan mereka menjadi kaya!
Jawapan: Mahu tahu? Dapatkan buku ini untuk mendapatkan jawapannya!

*Banyak lagi kisah-kisah menarik di dalamnya. Pasti adik-adik tidak rugi apabila membacanya! Kepada para ibu dan bapa boleh mendapatkannya untuk dibacakan kepada anak-anak sebelum mereka tidur. Sehari satu cerita tentu mereka menyukainya!Selamat Membaca!

Antara kisah lain:-
- Hadiah Untuk Sufiah
- Harga Sepotong Kuih
- Si Celik dan Si Buta
- Gadis Derhaka
- Empat Limau Bali
- Keadilan tuhan
- Pencuri Yang Insaf
- Nikmat Khusyuk Solat
- Saudagar Kaya dan Tiga anaknya
- Ucapan Pelik
dan banyak lagi kisah lain di dalamnya...

Renungan Jumaat.

MISTERI...

Tahukah anda bahawa sehingga kini misteri kedudukan gua yang menjadi lokasi persembunyian pemuda Ashabul Kahfi seperti yang disebut di dalam surah al-Kahffi masih menjadi teka-teki.

Penafsir dan juga pengkaji sejarah yang menyemak surah al-kahfi masih gagal mendapatkan jawapan yang tepat. Usaha menjejaki gua berkenaan bakal menjadi penemuan yang ulung di dalam dunia pengkajian sejarah islam amnya.

Ini disebabkan di dalam gua itu telah berlakunya satu daripada tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T di mana tujuh orang pemuda bersama seekor anjing yang bersembunyi untuk mengasingkan diri daripada pemerintah yang zalim serta kufur. Mereka ini ditidurkan oleh Allah selama 300 tahun sebelum kembali dibangkitkan.

Firman Allah:

"Adakah engkau (Muhammad) menyangka bahawa kisah ashabul kahfi dan ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan antara tanda kekuasaan kami? (Ingatlah peristiwa) ketika sekumpulan pemuda berlindung di gua lalu mereka berdoa: "Wahai tuhan kami!Kurniakan kepada kami rahmat pada sisiMU dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". Lalu tutup telinga (tidurkan) mereka beberapa tahun dalam gua itu."
"Kemudian kami bangkitkan mereka (dari tidurnya) untuk kami menguji siapakah antara dua golongan mereka yang lebih tepat kiraannya mengenai tempoh mereka hidup (dalam gua itu)."

(Al-Kahfi ayat 9-12).


Ruangan Mari Membaca

Apa yang telah saya baca?




Inilah dua novel islam yang sudah saya baca. Ianya dihasilkan oleh seorang penulis yang memang berbakat iaitu Abdul Latip Talib yang saya kenalinya sebagai Pak Latip.

Novel 'Ikramah Penentang Jadi Pembela' mengisahkan Ikramah anak Abu Jahal. Dia telah dididik menjadi seorang pahlawan dan apabila dewasa dia menjadi seorang panglima muda yang gagah berani serta banyak pengalaman di dalam peperangan.

Dia adalah penentang dan memusuhi Nabi Muhammad S.A.W. Kebenciannya semakin menebal setelah ayahnya iaitu Abu Jahal terbunuh di dalam peperangan Badar. Dia bertekad ingin membunuh Rasulullah namun pasukannya berjaya dikalahkan oleh pasukan tentera Islam pimpinan Khalid bin Walid. Disebabkan rasa takut Ikramah melarikan diri ke Yaman namun kehadirannya tidak disenangi. Apa yang terjadi kepada Ikramah? Adakah dia dibunuh atau terselamat? Jawapannya ada di dalam novel 'Ikramah Penentang Jadi Pembela'!

Novel 'Salahudin Penakluk Jerusalem' pula mengisahkan Salahudin yang dilahirkan di Tirqit(Iraq) telah diasuh o;eh bapa saudaranya dengan ilmu ketenteraan manakala ilmu agama diajar oleh ayahnya. Semasa kecil hingga alam remaja kehidupannya sama seperti kanak-kanak lain kerana tiada tanda-tanda dia akan menjadi masyhur apabila dewasa. Apakah yang menyebabkan dirinya begitu masyhur dan dikenali? Novel ini mengungkap segalanya. Selamat Membaca!

Novel-novel Islam karya Pak Latip:-









Novel Jibunsyi

Novel Jibunsyi Seorang Penulis Berbakat!


Ini adalah novel jibunsyi pertama yang saya beli sewaktu mula-mula mengenali PTS.

Novel berjudul 'Tegar' ini mengisahkan Afuan yang patah semangat dan hampir berputus asa selepas mengalami kegagalan di dalam peperiksaan SPM.
Rezekinya terbuka apabila dia dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik bagi pengambilan kedua. Dalam menjalani kehidupannya dia telah banyak menempuh pelbagai halangan namun dia dapat menanganinya dengan baik. Kekecewaannya kembali muncul apabila dia gagal meraih diploma. Namun berbekalkan sijil politeknik yang ada dia meniti hidup sebagai seorang juruteknik. Secara keseluruhan novel ini menceritakan pengalaman seorang anak muda bernama Afuan yang tegar menghadapi halangan dalam hidupnya agar cita-cita yang diimpikan menjadi kenyataan.
Novel ini ditulis oleh seorang penulis berbakat besar bernama Ahmad Zafran Bin Abdul Mutalib. Beliau adalah penulis yang saya kenali menerusi maya. Beliau adalah penulis yang telah menghasilkan karya berjudul 'Sahabat Kole Kacang' yang kini sudah masuk ke siri yang ke-3. Karya ini amat diminati oleh golongan awal remaja.
Kini dia telah menjadi kenangan bagi yang mengenalinya. Pada tanggal 3 Februari 2008 beliau telah dijemput Ilahi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah untuknya.

Antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau:-


Monday, March 3, 2008

Sibuk sangatkah kita?

Sana sini semua sedang bercerita tentang pilihanraya.
Yang menjadi calon sibuk berkempen.
Yang menjadi penyokong sibuk juga meraih undi untuk calon yang disokong.
Yang sudah mendaftar sibuk pula bersiap-siap untuk pulang mengundi.
Yang tidak mendaftar sibuk juga merancang apa yang perlu dilakukan pada hari mengundi.
Yang berlainan parti sibuk mengutuk antara satu sama lain.
Yang berkuasa sibuk mempertahankan kekuasaannya.
Sibuknya manusia kini!

Tetapi kadangkala mereka lupa kepada apa yang perlu diutamakan. Bila sibuk tidak pula sibuk bertanya diri sendiri sudah cukupkah amalan untuk dibawa ke sana.

Adakah kita memang sentiasa sibuk atau buat-buat sibuk?

Singgah Sebentar

Salam perkenalan untuk semua...


Terima kasih kerana sudi singgah sebentar untuk melihat sedikit bingkisan yang dicoret di sini. Sebagai permulaan halwa minda renungkan kata-kata oleh Rabiatul Adawiyah ini:

"Orang yang cinta Allah itu hilang dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya...
Dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan".