Wednesday, April 9, 2008

Seraut Wajah Manis


Semalam seperti biasa aku mempunyai temujanji untuk mengambil darah. Sampai sahaja di HUKM aku berjalan seperti biasa dengan kemampuan yang ada. Beberapa minit berjalan kakiku mula mengalami ketegangan. Terasa tidak mampu meneruskan langkahku.
Suamiku meminta aku berehat sebentar. Setelah duduk aku merasakan betisku mula terasa kebas. Suamiku seperti biasa mengurut-ngurut sedikit bagi memberikan sedikit kelegaan kepadaku. Wajahnya agak cemas bimbang aku tidak berdaya untuk meneruskan langkahku. Setelah 15 minit berehat aku mendapat tenaga baru dan terus berjalan menuju ke tingkat yang menempatkan klinik perubatan 2.
Aku berjalan sambil mataku melihat keadaan orang ramai yang masing-masing mempunyai urusannya yang tersendiri. Tiba-tiba mataku terpaku pada sekujur tubuh yang sedang duduk di kerusi roda sambil ditolak oleh ibunya. Semakin lama semakin dekat lalu dia melemparkan senyuman yang manis sekali. Aku tergamam dan cuba mengingati siapakah dia?

Aku membalas senyumannya sambil mengangkat tangan kepadanya. Dia membalas lambaianku. Keadaan orang ramai yang sedang lalu lalang tidak membenarkan aku berhenti untuk bertanya siapakah dia. Sampai di klinik perubatan 2 sambil menanti no. giliranku dipanggil aku cuba mengingati siapakah gadis manis yang senyum kepadaku. Setelah berselawat beberapa kali baru memoriku berputar mengingatkan kepada aku siapakah gadis manis tadi.

Dialah salah seorang pesakit yang mendapat latihan terapi cara kerja bersamaku. Walaupun sekali menemuinya pada satu sesi latihan tetapi dia tetap mengingatiku. Gadis itu baru berusia 17 tahun namun hidupnya sudah dihabiskan di atas kerusi roda. Wajah manisnya tidak menampakkan keperitaannya menghidapi penyakit saraf yang membuatkan dirinya tidak mampu berdiri dan berjalan sendiri. Selain itu dia juga mengalami masalah otot dan juga tulang. Semua keperluannya diuruskan oleh ibunya.

Aku tersenyum sendirian. Wajahnya sentiasa membayangi diriku. Aku kagum dia mampu menerima segala yang berlaku kepada dirinya. Wajahnya sentiasa mengukir senyuman walaupun kadangkala dia tidak dapat melakukan latihan terapi dengan baik. Usianya yang masih muda memberikan kepada aku satu gambaran bahawa usia tidak pernah menjadi ukuran kepada Maha Pencipta untuk memberikan ujiannya.

Apabila melihat diriku...aku bersyukur kerana aku masih mampu menguruskan diriku sendiri dengan keupayaan yang ada. Aku bisa berjalan walaupun perlahan dan dipimpin. Aku mampu melakukan kerja-kerja rumah setakat yang termampu. Masih berupaya menyediakan hidangan untuk suami tercinta. Aku bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyayang walaupun diri tidak sesempurna seperti isteri orang lain.

Wajah gadis itu tetap terpahat dimindaku. Aku berdoa semoga dirinya diberikan keringanan dalam menghadapi dugaan tuhan. Semoga dia diberikan kesembuhan daripada penderitaan yang dialaminya. Semoga dia dikelilingi dengan orang-orang yang mengasihi dirinya sentiasa. Amin.

2 comments:

MYA MARJA said...

Amin...
Sahabat yang tabah...teruskan perjuangan dengan kekuatan yang ada.

S. Rafidah H. Basri said...

Wahai cikgu yang sentiasa muda:)

Terima kasih kalam yang harus diucapkan atas doa tuan itu.

Perjuangan akan diteruskan walaupun badai sering melanda:)