Thursday, April 17, 2008

BERFIKIR SEJENAK

Tatkala aku melihat sekeliling, terlalu banyak yang perlu diteliti dan mencari erti di sebalik apa yang berlaku. Dua kisah ringkas yang aku paparkan bukan membuka keaiban seseorang tetapi untuk tatapan bagi mereka yang tahu berfikir.

Seorang nenek yang sudah berusia tinggal bersendirian di sebuah rumah yang menjadi tempat perlindungannya dari hujan dan panas. Segala keperluan diri diuruskan sendiri tanpa ada bantuan. Keadaan fizikal yang tidak sempurna menjadikan pergerakannya agak terbatas. Terpaksa merangkak untuk memasak, mandi, dan sebagainya. Usia yang mencecah 80 tahun tidak menghalangnya untuk menunaikan ibadat terhadap penciptanya. Jika tiada berdaya dia hanya mampu berpuasa sehingga merasakan diri berupaya untuk menyediakan segala yang diperlukan. Namun kewarasan akalnya masih terserlah. Masih mengenali tetamu yang datang walaupun tidak diundang. Masih mampu tersenyum dan bercerita pelbagai kisah sebagai hiburan. Kagumnya aku terhadap ketabahan wanita ini. Zaman mudanya penuh rintangan kerana terpaksa berhijrah dari negara seberang untuk mencari sesuap nasi di negara bertuah ini. Berenang merentas lautan bagi mencari satu kehidupan yang sempurna untuk keturunannya nanti. Walaupun mengakui masih mempunyai pewaris yang sah namun hanya sesekali menjengukkan diri melihat dirinya. Itu pun atas alasan kerana kesempitan wang. Nenek ini dicari bagi meringankan permasalahan dari segi kewangan yang dihadapi. Atas dasar belas dan kasih seorang nenek terhadap cucu, mana mungkin wang yang disimpan tidak dihulur. Namun katanya dia merasa bahagia kerana masih diberi kesempatan untuk mengingati tuhannya.

Berlainan pula kisah seorang datuk yang sudah mencapai usia 78 tahun. Masih mempunyai isteri di sisi dan keluarga untuk didampingi. Fizikalnya sempurna dan membolehkan dirinya pergi ke mana sahaja yang diinginkan. Segala keperluan diri disediakan tanpa dipinta. Dikelilingi anak dan cucu yang sentiasa keriangan. Namun dugaan Allah tidak pernah dijangkakan oleh akal manusia. Datuk ini menghadapi masalah nyanyuk. Apa yang dilakukannya tidak melambangkan dirinya sudah berusia malah melebihi tabiat kanak-kanak. Berjalan keliling kampung tanpa tujuan. Mengadu tidak diberi makan dan membuang segala sisa perkumuhan di mana sahaja mengikut kehendaknya. Oh!Bersabar bagi mereka yang menjaganya. Sayangnya dirinya tidak dapat melakukan ibadat seperti orang lain walaupun dikelilingi harta. Hidup di zaman mudanya penuh dengan kegembiraan dan suka berhibur sehingga tiada masa langsung untuk mempersiapkan diri apabila dijemput Ilahi. Tetapi aku bukan orang yang layak untuk menghukum. Siapa aku untuk mengatakan semua ini.

Kedua-dua paparan ini menyedarkan kepada aku bahawa perjalanan hidup ini sudah diatur oleh Maha Pencipta. Setiap daripada kita pasti akan menerima ujian bagi mempertingkatkan keimanan. Kesabaran perlu untuk menghadapi segalanya. Harta yang banyak tidak menjamin untuk peroleh kebahagiaan. Apa yang pasti kekuasaan manusia tidak dapat mengatasi kekuasaan Yang Esa. Pasti ada hikmah disebaliknya yang tidak dapat dicapai oleh akal kita. Apakah nasib kita di kemudian hari?

No comments: