Wednesday, April 16, 2008

KENANGAN DI PESTA BUKU 2008




Tanggal 12 April 2008 yang lalu aku bersama suami berkesempatan mengunjungi Pesta Buku yang diadakan di PWTC. Saban tahun telinga ini hanya mendengar mengenai kehebatan sambutan pesta buku ini apabila diadakan. Namun tahun ini aku dapat merasainya sendiri kemeriahan berada di antara ribuan atau mungkin jutaan pengunjung ke pesta buku itu.

Melangkah ke Dewan Tun Razak memberikan aku satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Keterujaan untuk singgah di booth PTS seakan meluap-luap. Mula memasang angan-angan ingin membeli beberapa buah buku sebagai koleksi peribadi. Beberapa nama penulis sudah bermain diminda kerana aku ingin berjaya memiliki karya mereka.

Keadaan pengunjung yang berpusu-pusu untuk memasuki booth PTS memberikan aku satu tanda bahawa PTS memang sudah menjadi pilihan pengunjung. Tidak kira peringkat umur mahupun jantina, masing-masing mempamerkan wajah yang ceria apabila berkunjung ke booth ini. Ada juga kanak-kanak yang memanggil kawan-kawannya kerana sudah menemui booth PTS. Ada juga antara guru yang membawa murid-muridnya memberitahu beli buku di booth PTS kerana banyak buku yang menarik dari isi kandungannya. Aku yang mendengar hanya tersenyum dan berkata di dalam hati "PTS sudah hebat sekarang!"

Ada juga yang masih terpinga-pinga apabila kawannya memberitahu mengenai PTS. Namun apabila dijelaskan "PTS ini yang kita baca buku Sahabat Kole Kacang itu..." Mendengar sahaja tajuk buku yang dikatakan baru kawannya tersenyum dan mengiyakan lalu masuk ke dalam membelek dan membeli beberapa buah buku.

Semua ini memberi aku petanda bahawa PTS sudah semakin dikenali dan buku-buku yang diterbitkan menjadi pilihan para pembaca.

Walaupun masa yang aku ambil di booth PTS dan di Pesta Buku tidak lama
, namun hati ini begitu riang dapat bersama-sama pengunjung lain merasai suasana di situ. Tetapi di hati kecil ini merasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan guru yang banyak membimbing aku sehingga karya aku berjaya diterbitkan.

"Ya Allah!Semoga Engkau melimpahkan kerahmatan yang berpanjangan kepada guruku yang mulia."

No comments: