Tuesday, May 12, 2009

Terkikiskah Bahasa Melayu?

Semakin hari, dapat dirasakan bahawa pemahaman Bahasa Melayu di kalangan generasi muda sekarang ini semakin berada pada tahap yang membimbangkan. Mungkin aku tidak mempunyai statistik yang jelas namun, apa yang berlaku di hadapanku menjadi bukti untuk aku jelaskan ianya benar-benar terjadi.

Sebagai orang yang menghabiskan masa di rumah, aku melakukan kerja-kerja sampingan yang dapat memenuhkan masa yang ada. Walaupun aku bukan dilatih sebagai guru yang mengajar Bahasa Melayu, namun aku cuba memberikan tunjuk ajar atas tiket ilmu yang sudah dibekalkan oleh guruku sewaktu aku masih bersekolah lagi. Mungkin pengajaran yang terkini mempunyai garis panduan yang berbeza berbanding sewaktu zaman aku bersekolah. Namun aku yakin terasnya tetap sama iaitu mengenai tatabahasa, karangan dan juga kefahaman.

Seorang ibu datang menemui aku dua tahun yang lalu meminta aku mengajar anaknya yang agak lemah dalam menjawab kertas peperiksaan Bahasa Malayu. Dalam fikiranku selemah manakah anaknya itu sehingga hendak menjawab kertas peperiksaan bahasa sendiri dianggap lemah. Aku bersetuju lalu meminta anaknya itu membawa sekali kertas peperiksaan yang telah dijawabnya. Apabila kertas itu ditunjukkan, aku terkesima sebentar. Daripada 100, pelajar muda itu hanya mendapat 3/100 sahaja. Aku menyelak-menyelak kertas tersebut mencari-cari mungkin berlaku kesilapan dalam menandakan kertas tersebut. Namun telahanku meleset kerana sememangnya pelajar itu layak mendapat markah sebegitu kerana hampir kesemuanya tidak berjawab. Aku terus meminta alasannya. Hanya dengan satu perkataan dia memberikan aku alasannya iaitu 'susah'. Kehairanan aku semakin memuncak. Bahasa sendiri dianggap susah. Tambah memeranjatkan lagi dia menyambung alasannya dengan nada merungut iaitu menyatakan belajar Bahasa Melayu lebih susah daripada belajar Bahasa Inggeris!

Tersirap darahku seketika. Alasan apakah yang diberikan ini? Alasan itu langsung tidak masuk akalku yang waras ini. Tanpa membuang masa aku pun mula memberikan pandanganku mengenai Bahasa Melayu yang dianggap "susah" ini oleh pelajar tersebut. Aku cuba memintanya membaca sebuah karangan pendek untuk aku menilai tahap pemahamannya terhadap bahasa ibundanya sendiri. Apabila membaca, ternyata merangkak-rangkak dan kadangkala perkataan yang dibunyikan agak pelik seperti mengarahkan (murid tersebut membaca mengerahkan). Aku suruhnya ulang perkataan tersebut kerana bagi aku mungkin dia tersalah baca. Namun, begitulah bunyinya apabila diulangi.

Suatu hari aku memintanya menulis karangan surat tidak rasmi. Aku memintanya menulis dengan format yang betul. Aku memintanya menulis alamat di sebelah kanan kertas. Dia bertanya kembali yang 'alamat' itu apa. Sekali lagi aku termangu. Untuk memahamkannya aku menyatakan alamat rumah di mana benda itu penting jika surat misalnya yang dialamatkan kepada kita akan sampai dengan selamatnya. Dia masih termangu-mangu. Akhirnya aku menyatakan alamat apabila di dalam bahasa inggeris disebut address. Serta merta pelajar tersebut mengangguk faham dan berkata, "Oh!Address. Senang sahaja."

Aku menggelengkan kepala. Perkataan bahasa ibunda sendiri tidak faham tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bahasa asing, dengan mudah dia menangkap. Sejak itu latihan tubi aku berikan. Setiap hari sekurang-kurangnya 20 perkataan dalam bahasa melayu dia perlu tahu dengan maknanya sekali.

Aku dapat merasakan betapa semakin terhakisnya pemahaman Bahasa Melayu di kalangan generasi kini. Jika tidak diambil serius maka tidak mustahil bangsa Melayu sendiri tidak kenal bahasa sendiri. Alangkah sadisnya apabila perkara ini berlaku. Semakin sibuk pelajar kini diajar bahasa asing dalam mata pelajaran tertentu, semakin hilang pemahaman mereka terhadap bahasa sendiri!

1 comment:

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

Bahasa Melayu tidak akan terhakis. Itu keyakinan saya.

Terima kasih kerana mendoakan saya. Saya juga ingin mendoakan Puan Rafidah.

Ya Allah, kurniakan rahmat serta keampunan kepada sahabatku Rafidah. Tenang dan tabahkan hatinya dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Amin.