Friday, May 15, 2009
Hari Guru
Jasa dan pengorbanan guru amat tinggi nilainya. Para guru diibaratkan lilin yang sentiasa menerangi suasana pembesaran seorang yang bernama murid atau pelajar di dalam alam yang dinamakan persekolahan.
Tugas dan bebanan mereka yang bergelar guru, kadangkala menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Mereka tidak meminta untuk dibalas segala jasa dan bakti yang ditaburkan, namun cukup sekadar dapat melihat anak didiknya menjadi orang yang berjaya dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Penat lelah mereka akan terbayar tatkal melihat kejayaan yang dicapai oleh anak didiknya. Kepuasan akan terpancar pada raut wajah mereka di kala kejayaan berada di dalam genggaman pelajar-pelajarnya.
Masih aku terkenang, guru-guru yang telah mengajar aku sehingga menjadi seorang yang berilmu. Jasa kalian tidak akan kulupa.
Kepada semua guru di luar sana ingin aku ucapkan 'Selamat Hari Guru'. Semoga semua yang bergelar guru akan lebih bersemangat dan ikhlas dalam perjuangan mendidik anak bangsa.
Tuesday, May 12, 2009
Terkikiskah Bahasa Melayu?
Sebagai orang yang menghabiskan masa di rumah, aku melakukan kerja-kerja sampingan yang dapat memenuhkan masa yang ada. Walaupun aku bukan dilatih sebagai guru yang mengajar Bahasa Melayu, namun aku cuba memberikan tunjuk ajar atas tiket ilmu yang sudah dibekalkan oleh guruku sewaktu aku masih bersekolah lagi. Mungkin pengajaran yang terkini mempunyai garis panduan yang berbeza berbanding sewaktu zaman aku bersekolah. Namun aku yakin terasnya tetap sama iaitu mengenai tatabahasa, karangan dan juga kefahaman.
Seorang ibu datang menemui aku dua tahun yang lalu meminta aku mengajar anaknya yang agak lemah dalam menjawab kertas peperiksaan Bahasa Malayu. Dalam fikiranku selemah manakah anaknya itu sehingga hendak menjawab kertas peperiksaan bahasa sendiri dianggap lemah. Aku bersetuju lalu meminta anaknya itu membawa sekali kertas peperiksaan yang telah dijawabnya. Apabila kertas itu ditunjukkan, aku terkesima sebentar. Daripada 100, pelajar muda itu hanya mendapat 3/100 sahaja. Aku menyelak-menyelak kertas tersebut mencari-cari mungkin berlaku kesilapan dalam menandakan kertas tersebut. Namun telahanku meleset kerana sememangnya pelajar itu layak mendapat markah sebegitu kerana hampir kesemuanya tidak berjawab. Aku terus meminta alasannya. Hanya dengan satu perkataan dia memberikan aku alasannya iaitu 'susah'. Kehairanan aku semakin memuncak. Bahasa sendiri dianggap susah. Tambah memeranjatkan lagi dia menyambung alasannya dengan nada merungut iaitu menyatakan belajar Bahasa Melayu lebih susah daripada belajar Bahasa Inggeris!
Tersirap darahku seketika. Alasan apakah yang diberikan ini? Alasan itu langsung tidak masuk akalku yang waras ini. Tanpa membuang masa aku pun mula memberikan pandanganku mengenai Bahasa Melayu yang dianggap "susah" ini oleh pelajar tersebut. Aku cuba memintanya membaca sebuah karangan pendek untuk aku menilai tahap pemahamannya terhadap bahasa ibundanya sendiri. Apabila membaca, ternyata merangkak-rangkak dan kadangkala perkataan yang dibunyikan agak pelik seperti mengarahkan (murid tersebut membaca mengerahkan). Aku suruhnya ulang perkataan tersebut kerana bagi aku mungkin dia tersalah baca. Namun, begitulah bunyinya apabila diulangi.
Suatu hari aku memintanya menulis karangan surat tidak rasmi. Aku memintanya menulis dengan format yang betul. Aku memintanya menulis alamat di sebelah kanan kertas. Dia bertanya kembali yang 'alamat' itu apa. Sekali lagi aku termangu. Untuk memahamkannya aku menyatakan alamat rumah di mana benda itu penting jika surat misalnya yang dialamatkan kepada kita akan sampai dengan selamatnya. Dia masih termangu-mangu. Akhirnya aku menyatakan alamat apabila di dalam bahasa inggeris disebut address. Serta merta pelajar tersebut mengangguk faham dan berkata, "Oh!Address. Senang sahaja."
Aku menggelengkan kepala. Perkataan bahasa ibunda sendiri tidak faham tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bahasa asing, dengan mudah dia menangkap. Sejak itu latihan tubi aku berikan. Setiap hari sekurang-kurangnya 20 perkataan dalam bahasa melayu dia perlu tahu dengan maknanya sekali.
Aku dapat merasakan betapa semakin terhakisnya pemahaman Bahasa Melayu di kalangan generasi kini. Jika tidak diambil serius maka tidak mustahil bangsa Melayu sendiri tidak kenal bahasa sendiri. Alangkah sadisnya apabila perkara ini berlaku. Semakin sibuk pelajar kini diajar bahasa asing dalam mata pelajaran tertentu, semakin hilang pemahaman mereka terhadap bahasa sendiri!
Sunday, May 10, 2009
Sekadar renungan...
"Ketahuilah bahawa kemuliaan mukmin itu pada mendirikan ibadah
di tengah malam, dan kebesaran mukmin itu pada tidak berhajat
dia kepada orang lain."
( Riwayat Baihaqi)
Saturday, May 9, 2009
HARI IBU
Namun bagiku, setiap hari adalah hari yang istimewa untuk mereka yang bergelar ibu. Tiada hari yang khusus untuk aku meraikan sesuatu yang istimewa bersama ibu.
Pengorbanan mereka memang tidak dapat dibalas dengan apa jua. Hanya doa yang baik dipanjatkan untuk semua ibu-ibu di dunia ini. Kepada mereka yang bergelar anak, sentiasalah berbuat baik dengan ibu walau dalam apa jua keadaan.
Wednesday, February 25, 2009
Ayat-Ayat Cinta
Segersang pemikiran hati
Terkisahku di antara
Cinta yang rumit
Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekadar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Ku pertaruhkan
c/o:
Maafkan bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cintaku padamu
Bila bahagia mulai menyentuh
seakan ku bisa hidup lebih lama
namun harus ku tinggalkan cinta
ketika ku bersujud
Wednesday, November 26, 2008
Tidakkah Manusia Percaya?
Terkadang tidakkah mereka terpikir berat mata memandang...berat lagi bahu yang memikul. Usahlah dihina kepada mereka yang tiada berkemampuan dari segi kudrat. Sakit dan sihat bukankah ketentuan dari Ilahi?
Namun aku percaya setiap ujian yang datang merupakan tanda kasihNYA Allah terhadap hambanya. Semakin berat ujian yang datang semakin terasa dekatnya diri kepada Yang Esa.
Wahai manusia...
Usahlah mudah menabur fitnah terhadap mereka yang engkau sendiri tidak tahu keperibadiannya. Jangan mudah percaya kepada berita yang engkau sendiri tidak tahu kesahihannya. Jangan engkau merasa gembira di atas kesengsaraan orang lain.
Mungkin ini tanda dunia semakin hampir kepada kiamat. Tanda-tanda kecil sudah berlaku. Keluarga bercakaran dan suka memutuskan silaturrahim. Fitnah semakin berleluasa. Semoga Allah memberikan ketabahan dan kecekalan untuk menghadapi segala ujian dariNYA.AMIN.
Duhai Hati...
Usahlah merasa gundah
janganlah menjerut rasa
hanya kerana perkara yang tidak terduga
Duhai hati
semoga merasa tenang
dengan kalimah-kalimah suci
yang memang menjadi penawar
kepada setiap kedukaan
Duhai hati
hindarkan daripada rasa kecewa
hindarkan daripada rasa terkilan
kerana ujian yang mendatang
Ya Allah!
KepadaMu segalanya diserahkan
Semoga petunjuk kebenaran akan tiba
Semoga hati ini sentiasa sabar dan bertenang...
Thursday, October 30, 2008
Ceritaku

Semalam berlaku perbualan singkat antara aku dengan salah seorang muridku.
Aku : Mengapa layu sahaja muka kamu?
Murid : Tiada apa-apa.
Aku : Kamu sakitkah?
Murid : Tidak. Cuma perut saya ini terlalu kenyang!
Aku : Kamu makan banyakkah?
Murid : Saya makan nasi...sate dan mee goreng.
Aku : Lain kali bila makan beringat.
Murid : Memang saya ingat.
Aku : Maksud beringat ialah berhati-hati. Kalau ingat...apa yang kamu ingat sebelum makan?
Murid : Saya ingat hendak makan semua yang ada.(Sambil tersenyum)
Aku : Patut pun.(Hanya menggelengkan kepala).
Begitulah gelagat kanak-kanak. Mereka ini terlalu naif. Namun ada sinar kejujuran pada setiap gera dan tutur katanya:)
Sunday, October 26, 2008
Ini Satu Kisah...
Ketika itu aku di kaunter pembayaran setelah selesai menjalankan sesi kaunseling mengenai cara perubatan yang dijalankan. Ketika itu aku melihat di luar pintu...seorang wanita muda bersama ibu dan suaminya. Wanita tersebut memandangku dengan wajah yang mencuka. Aku pun tidak pasti mengapa. Setelah itu...kulihat dia cuba menguak pintu utama untuk masuk ke dalam namun tidak berjaya lalu kulihat dia menyuruh ibunya yang sudah berusia itu menolak pintu. Apalah daya seorang wanita tua yang kudratnya terhad. Ibu tua itu berusaha untuk menolaknya namun gagal. Akibatnya dia dimarahi wanita tersebut. Suamiku yang melihat membantu membuka pintu dan mempersilakan ibu tua itu masuk dan duduk di kerusi yang disediakan. Namun wanita itu dengan muka yang selamba langsung tidak menunjukkan reaksi untuk berterma kasih. Bukan aku mengharap tetapi atas dasar berbudi bahasa seharusnya ucapan sebegitu perlu diucapkan. Ibu tua itu tersenyum memandang aku dan suami mungkin tanda untuk berterima kasih.
Setelah pembayaran dibuat...kerana ketika itu juga aku membawa ibuku juga untuk mendapatkan rawatan...kami pun hendak pulang. Pada waktu yang sama wanita tersebut dipanggil untuk berjumpa doktor. Ketika itu aku lihat dia bangun dan berjalan seorang diri menuju ke bilik doktor.Beberapa saat kemudian dia kembali semula dan meminta suaminya untuk menemaninya. Lebih kurang begini dialognya:-
Wanita muda :Bang!Mari masuk sama!
Suami :Biar emak sahaja yang temankan...lagipun emak yang teringin hendak ikut.
Wanita muda :(menjawab dengan nada tinggi)Tidak perlulah!Abang sahaja!Ada tiga kerusi di dalam tu!Cepatlah!
Suami itu bangun dan menurut sambil meminta izin dari ibu tua untu masuk menemani isterinya. Ibu tua itu mengangguk perlahan dan duduk menanti di kerusi yang disediakan.
Aku keluar bersama suami dan ibuku. Sewaktu menekan butang lif fikiranku menerawang mengingatkan wanita muda tersebut. Jika begitu sikapnya dengan ibu dan suami di hadapan orang lain...bagaimana keadaannya jika di rumah. Tiadakah sikap ingin berbicara secara lembut dengan seorang ibu dan suami yang wajib dihormatinya?
Aku hanya menggelengkan kepala dan berdoa semoga ibu tua itu sentiasa bergembira.
Sunday, October 19, 2008
Masa Untuk Bertapa
Bukan tidak mahu untuk menyudahkan sinopsis yang telah aku cipta untuk sesebuah cerita...namun graf kesihatan ini yang turun menjunam sejak kebelakangan ini. Cuba juga menggagahi melawan rasa ketidak selesaan diri...namun kudratku yang ada terhad untuk cuba menangkisnya. Namun kecewa tidak sama sekali.
Pendrive ku ini sudah lama aku simpan. Di dalamnya terdapat benda yang aku rasakan berharga kerana terkandung di dalamnya hasil kerjaku.
Aku berdoa semoga Allah meringankan segalanya dan mempermudahkan segala urusanku.Amin.
Saturday, October 18, 2008
Apa Hendak Jadi?
Apakah sewajarnya guru berkenaan menerima nasib sebegitu? Apakah wajar murid tersebut sanggup meletakkan kakinya ke perut seorang guru yang telah memberinya ilmu pengetahuan? Apa hendak jadi dengan murid-murid sekarang?
Sudah hilangkah rasa hormat mereka kepada orang yang mengajar mereka mengenai dunia pengetahuan? Bagaimana nasib anak-anak mereka nanti jika tiada guru yang sanggup mengajar lagi? Namun aku yakin...kerjaya seorang guru menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi. Teringat aku kepada seorang rakanku yang juga seorang penulis PTS (Tn.Mya Marja):). Bukunya mengenai "Guru Arkitek Bangsa" menyedarkan kepada aku betapa besarnya pengorbanan untuk menjadi seorang guru dan betapa besarnya tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Semoga rakanku ini adalah seorang guru yang tabah dan hebat:)
Wahai anak bangsaku!Hormatilah gurumu...Mereka adalah lilin yang memberikan kepadamu cahaya untuk kamu menggapai impian yang nyata. Jangan dipersiakan ilmu yang diberikan serta dicurahkan. Sayangi mereka kerana keredhaan mereka juga adalah tiket kebahagiaan untuk kamu hidup.!
Jadilah anak bangsa yang berguna dan letakkan gurumu di tempat yang mulia!
Semoga tiada lagi kes-kes sebegini yang akan mujud.Amin.
Tuesday, September 16, 2008
NOVEL CERITA RAKYAT

Kesyukuran aku panjatkan kepada Allah kerana dengan izinNYA sebuah novel cerita rakyat hasil penulisanku akan diterbitkan.
Novel Cerita Rakyat ini berjudul "Puteri Nyiur Gading" dan dijangka akan diterbitkan pada 22 Sept 2008.
Sinopsis Ringkas:(Disalin dari web PTS).
Di sebuah negeri di kayangan iaitu Negeri GalanganPuri, diperintah oleh Raja Panglima Dewa dan permaisurinya, Ratna Kesuma. Mereka mempunyai enam putera dan seorang puteri yang kesemuanya mempunyai kelebihan yang luar biasa.
***
Putera Kencan tangkas bermain pedang, Putera Karma cekap memanah, Putera Kendana gemar mengembara, Putera Kelana suka bermain silap mata, Putera Arena mempunyai kuda sakti, Putera Adita tekun mempelajari ilmu persilatan manakala Puteri Gemala Sari (Puteri Nyiur Gading), puteri tunggal kesayangan raja dan permaisuri yang cantik paras rupanya. Puteri gemar melukis keindahan alam semula jadi. Lukisannya seolah-olah bernyawa dan boleh bercerita laksana wayang gambar.
***
Suatu hari negeri GalanganPuri mendapat khabar utusan dari negeri Dermaga akan datang membawa rombongan bagi meminang Putera Gemala Sari. Raja Panglima Dewa tidak mahu puterinya berkahwin dengan Putera Panji Megat Buana yang mahu menjadikan anakandanya isteri ketiga.
***
Dengan kelebihan Putera Kelana, dia menjadikan Puteri Gemala Sari menjadi sebilah pedang. Maka dibawalah Puteri Gemala Sari turun ke bumi sambil diiringi oleh kakanda-kakandanya sehingga sampai di tengah hutan. Kemudian dalam sekelip mata tumbuhlah sebatang pohon nyiur gading yang mempunyai tujuh biji nyiur gading. Enam orang kakandanya bertukar menjadi enam biji nyiur gading berwarna kuning manakala Puteri Gemala Sari menjadi sebiji nyiur gading berwarna kehijauan.Apa yang terjadi kepada Puteri Gemala Sari apabila dia diturunkan ke bumi?Semuanya terdapat di dalam novel ini.
Semoga ianya akan memberikan kepuasan kepada pembaca novel ini:)
Thursday, September 4, 2008
SYUKUR
Alhamdulillah...ucapan yang indah ini hanya mampu aku lafazkan tatkala mendapat berita berkaitan buku pertama yang dihasilkan bersama PTS Islamika diulang cetak dengan cover yang baru.
Terima kasih kepada PTS Islamika kerana menerbitkan karya ini untuk tatapan pembaca.:)
Semoga segala usaha diberkati.Amin
Monday, July 28, 2008
Kemanisan Setiap Ujian
Berehat lama kerana insiden yang tidak terduga. Namun segala yang berlaku sebagai tanda kemanisan ujian dari Allah Taala. Perasaan menerima jahitan di kepala membayangkan betapa aku perlu tabah lagi menghadapi setiap liku perjalanan hidupku.
Ketika berehat ini...alhamdulillah ada idea yang menarik untuk aku tulis sebagai sinopsis untuk menghasilkan koleksi karyaku nanti. Setelah lama mengalami kebekuan minda akhirnya datang idea yang mencurah-curah. (agaknya berkat jatuh yang dialami sehingga kepala berjahit jadi minda yang beku menjadi cair agaknya hi..hi..).
Tahun ini belum ada satu karya baru yang dapat aku hasilkan dengan selengkapnya. Semuanya tertangguh. Tahap kesihatan yang turun naik juga faktor penyumbang utama kepada keadaan ini. Ditambah kesibukan kini mahu menjadi tuan rumah bagi satu majlis penting untuk keluarga tersayang:).
Walaupun masih terasa sakit badan-badan ini namun urusan untuk memastikan majlis yang akan berlangsung perlu dititikberatkan mengikut kudrat yang masih ada.
Semoga Allah memberikan kekuatan.Amin
Tuesday, July 1, 2008
Kebekuan Minda
Sudah lama rasanya tidak menulis sebarang informasi di blog ini. Ini yang terjadi apabila diri mengalami penyakit yang tidak diundang iaitu kebekuan minda (istilah sendiri). Ianya berlaku apabila diri merasakan sukarnya untuk menghasilkan sebarang bentuk penulisan akibat minda ini tidak dapat memikirkan sesuatu yang kreatif dan melahirkan idea-idea yang bernas.
Rasanya banyak yang hendak ditulis namun kekeringan idea menjadi sebab utama. Kerana kebekuan minda yang dialami ini menjadi beberapa sinopsis yang telah aku buat tertangguh penulisan cerita lengkapnya. Cuba mencari jalan untuk mencairkan minda ini seperti bercuti namun keadaan masih tetap sama.
Agaknya sengaja mahu diberikan kemudahan agar minda ini diberikan sedikit rehat supaya ianya dapat berfungsi dengan lebih baik:)
Wednesday, June 18, 2008
Apa itu Polymyositis?
Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan polymyositis?
Justeru itu pesakit sukar untuk menaiki tangga dan bangun dari kerusi serta mengangkat barang. Pesakit juga mungkin mengalami arthritis dan sukar menelan. Ia juga menyebabkan pesakit akan mengalami pendek nafas serta sukar untuk bercakap. Dalam sesetengah kes ia juga menjejaskan otot yang jauh dari badan dan itu menandakan penyakit sudah menjadi kronik. Walaupun ia menyerang otot yang berdekatan dengan badan namun kadangkala ia boleh menyerang bahagian tangan dan itu menandakan penyakit yang dialami semakin kronik.
Punca:-
Tiada sebab khusus yang dapat dijelaskan sebagai punca kepada penyakit ini. Dunia perubatan mempercayai ianya adalah reaksi autoimun atau jangkitan virus pada otot rangka yang mungkin mencetuskan penyakit. Kelemahan otot disebabkan oleh penyakit ini boleh muncul secara tiba-tiba atau datang secara perlahan-lahan dalam tempoh seminggu atau sebulan. Kelemahan itu terjadi disebabkan radang atau kerosakan otot.
Diagnosis:-
- Ujian darah dilakukan untuk memastikan tahap enzim otot(CPK-Cretinine phosphokinase). Enzim ini dibebaskan dalam darah apabila otot dirosakkan oleh radang. Ia digunakan bagi mengukur tahap keradangan.
- Imbasan otot menggunakan ujian radiologi seperti MRI.
- Biopsi otot bagi mengesahkan sama ada otot mengalami keradangan biasa atau polymyositis.
Rawatan:-
Tiada penawar untuk penyakit ini tetapi simptomnya boleh dirawat. Biasanya pesakit akan diberikan ubat-ubatan jenis 'corticosteroid' dalam dos yang tinggi. Selain itu pesakit perlu menjalani terapi fizikal serta senaman. Pesakit juga memerlukan rehat yang cukup.
*Dipetik dari Ruangan Dimensi Berita Harian(Ahad 5 Ogos 2007)
Sekadar berkongsi maklumat dengan semua. Kini daku mengalaminya. Semoga Allah meringankan bebanan yang ditanggung. Amin.
p/s: Semoga ianya dapat memberikan info yg berguna buat Guest-Teeja
Thursday, May 15, 2008
Doa dan Harapan.
Lirikan mataku mengekori setiap sudut
Menjengah sebentar melihat alam ini
Penuh warna warni laksana pelangi
Namun hakikatnya belum pasti
Bisa digapai erti sebuah kebahagiaan.
Kesibukan hamba bernama manusia
Mencari sesuap nasi mengalas perut
Kadangkala terpaksa berkejar ke sana sini
Untuk merentas masa yang semakin suntuk.
Ada pelbagai jenis manusia
Yang bergaya mahupun papa
Masing-masing punya matlamat
Untuk mengecap hidup yang nikmat.
Namun jangan sesekali kita lupai
Bekalan untuk akhirat yang pasti
Mengejar kesenangan tidak berhenti
Siang malam diulit mimpi.
Linangan manik-manik jernih
Membasahi pipi
Bukan kerana menyesali
Memikirkan nasib diri
Apabila berhadapan dengan Ilahi.
Cukupkah bekalan yang dibawa nanti
Tergolongkah diri di dalam kelompok
Sunnah Wal Jamai
Hanya doa yang mampu mengiringi diri
Semoga akan berbahagia di sana nanti...
Thursday, May 1, 2008
Cerita Daripada Seorang Kanak-kanak

"Maaf ustazah, saya terlewat hari ini."
"Tidak mengapa. Tetapi mengapa kamu lewat hari ini? Tertidurkah?"
"Tidak. Saya leka melihat gambar perkahwinan ibu dan ayah saya. Gambar itu cantik sangat!"
Aku hanya tersenyum lantas bertanya apabila anak muridku menggaru-garu kepala.
"Mengapa?"
"Saya hairan. Saya lihat gambar ibu dan ayah kahwin, namun saya tiada di dalam gambar itu. Ustazah tahukah saya di mana ketika itu?"
Aku hanya tersenyum lalu bagi meredakan persoalan yang bermain di fikirannya aku pun menjawab, "Elok jika kamu bertanya kepada ibu kamu. Lagi pula ustazah tiada di situ ketika ibu dan ayah kamu berkahwin."
Kanak-kanak itu tersenyum dan menjawab, "Betul juga!Terima kasih ustazah."
Wednesday, April 23, 2008
Menikmati Alam Ciptaan Tuhan


Pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran yang segar dijual kepada para pengunjung yang datang. Kesibukan para pengunjung membeli belah melambangkan kita semua menginginkan sesuatu yang segar dan baik.
Kenyamanan yang dirasakan dapat membangkitkan perasaan yang tenang dan selesa. Semoga ciptaan tuhan ini dipelihara dengan baik tanpa ada sifat kerakusan manusia yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Thursday, April 17, 2008
BERFIKIR SEJENAK
Berlainan pula kisah seorang datuk yang sudah mencapai usia 78 tahun. Masih mempunyai isteri di sisi dan keluarga untuk didampingi. Fizikalnya sempurna dan membolehkan dirinya pergi ke mana sahaja yang diinginkan. Segala keperluan diri disediakan tanpa dipinta. Dikelilingi anak dan cucu yang sentiasa keriangan. Namun dugaan Allah tidak pernah dijangkakan oleh akal manusia. Datuk ini menghadapi masalah nyanyuk. Apa yang dilakukannya tidak melambangkan dirinya sudah berusia malah melebihi tabiat kanak-kanak. Berjalan keliling kampung tanpa tujuan. Mengadu tidak diberi makan dan membuang segala sisa perkumuhan di mana sahaja mengikut kehendaknya. Oh!Bersabar bagi mereka yang menjaganya. Sayangnya dirinya tidak dapat melakukan ibadat seperti orang lain walaupun dikelilingi harta. Hidup di zaman mudanya penuh dengan kegembiraan dan suka berhibur sehingga tiada masa langsung untuk mempersiapkan diri apabila dijemput Ilahi. Tetapi aku bukan orang yang layak untuk menghukum. Siapa aku untuk mengatakan semua ini.
Kedua-dua paparan ini menyedarkan kepada aku bahawa perjalanan hidup ini sudah diatur oleh Maha Pencipta. Setiap daripada kita pasti akan menerima ujian bagi mempertingkatkan keimanan. Kesabaran perlu untuk menghadapi segalanya. Harta yang banyak tidak menjamin untuk peroleh kebahagiaan. Apa yang pasti kekuasaan manusia tidak dapat mengatasi kekuasaan Yang Esa. Pasti ada hikmah disebaliknya yang tidak dapat dicapai oleh akal kita. Apakah nasib kita di kemudian hari?
